• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Kibar Jalur Gemilang, Terjemahkan Semangat Cintakan Negara

Oleh: Mohd Rizauddin

DUNGUN, 27 Ogos- Rakyat Malaysia diminta terus menterjemah semangat patriotik cintakan negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang selain menyambut bulan Kemerdekaan dengan penuh penghayatan.

Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, ia perlu dilakukan masyarakat untuk mempamerkan perasaan cintakan tanah air dan sebagai tanda terhutang budi kepada negara yang menjamin keamanan dan keharmonian rakyat selama ini.

“Apa maknanya sambutan Hari Kebangsaan sekiranya tiada kibaran Jalur Gemilang secara meluas dan meriah. Ia adalah ‘roh’ yang menghidup suasana dan lambang kecintaan kita kepada Negara. 

“Amalan kibar Jalur Gemilang amat penting bagi menunjukkan semangat patriotisme, sekali gus menyemarakkan sambutan serta menjadi bukti bahawa rakyat kita cintakan bumi Malaysia,” ujarnya kepada pemberita  ketika ditemui pada program agihan Jalur Gemilang, baru-baru ini.

Katanya, tema sambutan ‘Malaysia Prihatin’ harus dijadikan landasan kesedaran bahawa setiap rakyat perlu mengambil berat antara satu sama lain dan bersatu-padu dalam apa jua perkara lebih-lebih lagi apabila seluruh dunia sedang berusaha menentang pandemik COVID-19. 

Beliau juga turut menyatakan bahawa pemimpin dan rakyat mesti ‘sehati sejiwa’ dalam merealisasikan perkara berkaitan semangat patriotisme ini.

“Perasaan menyayangi dan mencintai Malaysia akan menjadikan kita lebih kuat dan berdaya tahan dalam mengharungi segala cabaran. 

“Ia wajar dijadikan prinsip kehidupan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama. Hakikatnya tema sambutan Hari Kebangsaan kali ini melambangkan semangat kesepaduan, solidariti rakyat tidak kira di mana juga mereka berada,” ujarnya.


Tag: