lightning-solid
Berita :
Kijal Cetus Gelombang Solidariti Sumud Flotilla Terawal di Asia
Kijal Cetus Gelombang Solidariti Sumud Flotilla Terawal di Asia
Hafiz Rosli
14 Sep 25
213

KEMAMAN, 14 September – Kijal melakar sejarah tersendiri apabila menjadi antara lokasi terawal di Asia yang menganjurkan Gelombang Solidariti Sumud Flotilla, sebagai tanda sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Pengarah Program, Wan Mohd Redzuan Ahmad Kamar berkata, program yang diadakan di Pantai Penunjuk, Kijal itu bermula dengan konvoi motosikal membabitkan 300 peserta.

“Konvoi ini mengelilingi kawasan sekitar sejauh 60 kilometer selama sejam setengah bermula di Shell Bukit Anak Dara sebelum berakhir di tapak program.

"Selain itu, tumpuan turut diberikan kepada perarakan 50 buah bot yang menghiasi perairan Pantai Penunjuk, sebagai simbol solidariti dari lautan," katanya kepada pemberita selepas program berkenaan bertempat di Pantai Penunjuk Kijal kelmarin.

Acara kemuncak ialah Majlis Perasmian Penutup Sumud Nusantara Flotilla, yang digabungkan dengan Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah dan Pertandingan Mewarna.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris, yang turut serta menunggang motosikal dalam konvoi berkenaan sebagai simbol kebersamaan dan solidariti.

Mohd Redzuan berkata lebih 600 peserta hadir memeriahkan program, termasuk peserta konvoi, perarakan bot, pertandingan mewarna serta para pengunjung yang memberikan sokongan padu.

Katanya, program turut dimeriahkan dengan ceramah pengenalan Sumud Flotilla yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Hassan Harun Al-Ahmadi.

"Beliau menjelaskan konsep ketabahan (sumud) serta perjuangan rakyat Palestin dalam menuntut hak mereka.

"Semoga usaha ini menjadi titik tolak kepada gelombang kebangkitan solidariti umat Islam di rantau ini, sekali gus memperkukuh sokongan berterusan kepada perjuangan rakyat Palestin," ujarnya.

 


Tag :

Artikel Berkaitan