• 05 Nov 2024 | 03 Jamadil Awal 1446

Kilang Makanan Ternakan Manfaat 70 Peratus Bahan Mentah Tempatan

KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Perancangan kerajaan negeri untuk mempunyai kilang makanan sendiri antara salah satu usaha untuk menurunkan harga makanan ternakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, hasil penyelidikan daripada pakar-pakar di Institut Pengajian Tinggi mendapati langkah tersebut dapat manfaatkan sekitar 70 peratus bahan mentah tempatan dan meletakkan kebergantungan hanya kira-kira 30 peratus pada bahan mentah yang diimport.

“Antara yang kita gariskan dalam Pelan strategik Pertanian Terengganu adalah untuk mempunyai kilang makanan sendiri.

“Apabila diperkasakan lagi hasrat tersebut bersama negeri SG4, kita telah adakan beberapa perancangan bersama untuk merealisasikan kilang makanan ternakan dengan memanfaatkan sumber bahan mentah tempatan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh yang ingin tahu apakah usaha kerajaan negeri untuk mengatasi kenaikan harga makanan ikan (akuakultur).

Dr Azman berkata, beliau mengakui harga input makanan ternakan bukan hanya ternakan akuakultur malahan makanan unggas dan ternakan dominan turut berhadapan dengan isu kenaikan harga.

“Antara sebabnya kerana kita tidak ada kilang makanan ikan di Terengganu. 

“Dan kilang-kilang makanan ikan yang ada di negeri lain bergantung kepada sumber bahan mentah yang diimport menyebabkan naik turun harga,” ujarnya.

Terdahulu, Dr Mamad turut mengemukan soalan lisan mengenai berapakah bilangan pengusaha sangkar ikan di Hulu Terengganu, khususnya dalam DUN Kuala Berang dan berapakan nilai sumbangan yang telah dihulurkan kepada mereka pada tahun 2023 dan 2024.

Dr Azman memaklumkan, terdapat 170 pengusaha di Hulu Terengganu  dan 133 di Kuala Berang dengan spesis utama yang diternak mereka adalah ikan baung, patin dan tilapia.

“Sebanyak RM1,288,654 nilai bantuan telah disalurkan kepada pengusaha di Hulu Terengganu dengan pecahan RM637, 813 (2023) dan RM650,841 (2024),” ujarnya.

Manakala katanya, skop bantuan yang disalurkan seperti bot, tangki fiber, pukat sangkar, water jet, tong drum, sangkar, induk ikan kelah, makanan ikan serta kerja-kerja berkaitan pemulihan bekalan air, bekalan lektrik, pembinaan jeti terapung dan baik pulih sangkar di Sungai Como, Tasik Kenyir.

“Kerajaan Negeri sedang melakukan penyelarasan antara Jabatan Perikanan Negeri Terengganu dan Jabatan Perhutanan Negeri bagi mewartakan kira-kira 3000 hektar kawasan daratan dan tasik di Sungai Como Tasik Kenyir yang sekarang ini berada dalam warta Hutan Simpan Kekal (HSK) untuk diwartakan sebagai Zon Industri Akuakultur (ZIA),” ujarnya.