• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Kilang Minyak Masak Baru Milik Bumiputera Dibuka

MARANG, 20 Mei - Kilang minyak masak kendalian Syarikat Tenaga Pelayaran Legacy Sdn Bhd yang beroperasi di Taman Seri Budi, Padang Midin dijangka mampu membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat, Ariffin Deraman berkata pembukaan kilang tersebut membuktikan hasil positif daripada syarikat bumiputera terhadap kerajaan negeri.

"Pemilikan perniagaan 100 peratus milik anak Melayu ini menunjukkan kemampuan kita melangkah jauh bagi memperkasa ekonomi bumiputera dengan lebih mampan.

“Selain mampu bersaing dengan pemain industri besar di luar sana, kewujudan kilang minyak masak ini pasti membuka lembaran baharu kepada sektor ekonomi setempat.

“Pada masa sama, penghasilan minyak masak akan meningkat di pasaran bagi membekalkan buat pengguna khususnya di Terengganu,” katanya dalam Majlis Perasmian Pembukaan Kilang Minyak Masak Syarikat Tenaga Pelayaran Legacy Sdn Bhd di Padang Midin di sini kelmarin.
 

Sementara itu, Amirul Zakaria, 28, merupakan pemilik perniagaan tersebut memaklumkan sejak 1986 bisnes warisan itu dimulakan datuknya dan disambung ayah beliau sebelum diambil alih sepenuhnya.

Beliau juga memaklumkan satu lagi produk baru yang dihasilkan adalah minyak masak cap kapal layar selepas operasi berpindah hak milik.

"Ini satu perkembangan yang baik kerana permintaan terhadap minyak masak keluaran kami sangat tinggi.

“Oleh itu saya menjangkakan keperluan tenaga buruh meningkat dan saya mensasarkan seramai 100 orang pekerja di perlukan menjelang 2025,” ujarnya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman.

 


Tag: