• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Kira-kira 5000 Pengunjung Meriahkan Majlis Raya DUN Batu Buruk

KUALA TERENGGANU, 11 Mei – Kira-kira 5,000 pengunjung hadir bagi memeriahkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, semalam. 

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi, meskipun telah dua tahun majlis seperti itu tidak diadakan ekoran penularan wabak Covid-19, namun sambutan daripada orang ramai pada tahun ini sangat menggalakkan. 

“Saya sangat teruja melihat kegembiraan wajah semua yang hadir pada hari ini dari segenap usia, baik dewasa hingga kanak-kanak.

Kemeriahan sambutan Majlis Hari Raya DUN Batu Buruk

“Program ini dijadualkan bermula pada pukul 10.30 pagi tetapi saya dimaklumkan orang ramai telah mula hadir seawal jam 10.00 pagi lagi.

“Alhamdulillah, makanan yang kita sediakan cukup untuk semua yang hadir,” katanya.

Majlis tersebut dimeriahkan lagi dengan kehadiran Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim dan pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus. 

Turut diraikan dalam majlis itu ialah golongan kanak-kanak yang diberikan duit raya dan disampaikan sendiri oleh ADUN Batu Buruk serta isteri, Dr. Farhaana Husainy Hasbullah. 

Antara juadah yang disediakan ialah nasi minyak, ketupat, rendang, laksa Kg. Nibong, sate, kuih muih dan banyak lagi.