• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Kitab Pedoman Solat Berjemaah Berjaya Dikhatam

KUALA NERUS, 8 September - Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) telah menganjur dan mengkhatamkan pengajian Fiqh Solat Berjemaah peringkat DUN Seberang Takir menggunakan Kitab Pedoman Solat Berjemaah karangan Al-Marhum Tuan Guru Haji Abdul Rahman.

Pegawai DUAT DUN Seberang Takir, Syed Zuhairi Tuan Kasmi berkata, bukan sekadar mereka yang bergelar imam perlu mempunyai ilmu dan mahir, bahkan makmum juga perlu ada ilmu tentang solat berjemaah ini. 

“Pengajian Fiqh Solat berjemaah cukup penting dalam memudahkan penuntut ilmu yang bakal asatizah khususnya dan masyarakat umumnya faham dan cakna sub-fiqh ini selain mendedahkan umat Islam kepada furu' (permasalahan) fiqh bagi menjawab segala kemusykilan berkaitan solat berjemaah.

“Kita juga menyedari hakikat belajar Fiqh Solat Berjemaah adalah wajib bagi lelaki, bagi wanita pula hukumnya sunat namun boleh jadi wajib bagi wanita jika sekiranya wanita tersebut ingin laksanakan solat secara berjemaah," katanya.

Menurut beliau lagi, pengajian yang diadakan sekali seminggu setiap hari Rabu bermula 12 Januari lalu telah berakhir khatam pada 31 Ogos 2022.

"Kelas pengajian telah disampaikan oleh Ustaz Ahmad Hafiz Ali Makdom Hafizahullah yang dilangsungkan secara bersemuka dan juga di atas talian.

"Untuk makluman juga, pengajian kita bukan terhenti di sini, tetapi diteruskan lagi dengan Pengajian Fiqh Nikah "Kitab Tuhfah At-Thullab Sharah Idah Al-Bab" pada hari dan waktu yang sama setiap minggu, mereka yang berminat boleh menghubungi urusetia di talian 0139706069 bagi mendapatkan kitab tersebut", katanya.


Tag: