• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

KMI Diiktiraf Sebagai Hospital Pakar Komuniti Terbaik Malaysia

KUALA TERENGGANU, 10 Mei- Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) dinobat sebagai Hospital Pakar Komuniti Terbaik di Malaysia pada acara berprestij GlobalHealth Asia-Pacific 2024. 

Majlis yang berlangsung di JW Marriott Phuket Resort and Spa baru-baru ini dianjurkan sebagai meraikan kecemerlangan penyedia perkhidmatan kesihatan swasta di rantau Asia Pasifik.

Ketua Pegawai Eksekutif KMI Healthcare, Dr. Rayney Azmi Ali yang menerima anugerah penghargaan tersebut bagi pihak organisasi, merakamkan setinggi penghargaan diatas pengiktirafan KMI Healthcare yang dipilih sebagai antara penyedia perkhidmatan kesihatan swasta terbaik di Malaysia.

Menurut beliau, anugerah GlobalHealth Asia-Pacific bertujuan memberi pengiktirafan kepada hospital-hospital swasta yang secara konsisten membudayakan amalan penjagaan dan perkhidmatan perubatan yang cemerlang dan berdaya maju. 

"Pengiktirafan KMI Healthcare sebagai Hospital Pakar Komuniti Terbaik merupakan medium bagi merealisasikan slogannya iaitu ‘Menerajui Kehidupan Sihat’ dan mengukuhkan kedudukannya dalam komuniti setempat sebagai Penyedia Perkhidmatan Kesihatan Pilihan yang Dipercayai," ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, prestasi KMI Healthcare terus cemerlang dalam menyediakan pelbagai perkhidmatan yang bersesuaian dengan keperluan pesakit.

"Beroperasi 24 jam sehari, rangkaian hospital KMI Healthcare menyediakan perkhidmatan mudah akses bagi penjagaan kesihatan yang berterusan. 

"Sebagai sebuah Kumpulan rangkaian hospital swasta yang sedang pesat berkembang, KMI Healthcare kini beroperasi di lima buah hospital pakar komuniti iaitu, KMI Kuantan Medical Centre, KMI Kuala Terengganu Medical Centre, KM Taman Desa Medical Centre, KMI Kelana Jaya Medical Centre dan KMI Tawau Medical Centre, " ujarnya.

Tambah beliau, ciri utama pendekatan KMI Healthcare adalah penekanan terhadap keselesaan dan privasi pesakit.

"Hospital yang dibina khas turut menawarkan hanya bilik persendirian bagi tujuan keselesaan pesakit ketika berada di wad sekaligus mengurangkan risiko penularan jangkitan. 

"Komitmen KMI Healthcare terhadap pengalaman pesakit juga terserlah melalui penerapan Hospital Mesra Ibadah, yang mengintegrasikan amalan keagamaan dalam aktiviti seharian, memastikan kesejahteraan emosi dan rohani pesakit, " jelasnya.