• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

KMI Healthcare Catat Prestasi Luar Biasa

KUALA TERENGGANU, 18 Mac - Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) menunjukkan prestasi kewangan yang luar biasa bagi tahun suku keempat yang berakhir 31 Disember 2023 (4QTK2023).

Pengerusi KMI Healthcare, Dato’ Raja Idris Raja Kamaruddin berkata, anak syarikat bahagian penjagaan kesihatan TDM Berhad itu menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan melalui pertumbuhan hasil, kecekapan pengurusan kos, pelaburan strategik dan strategi kepuasan pelanggan. 

“Di sebalik cabaran yang ditimbulkan oleh pemulihan ekonomi global pasca-pandemik, KMI Healthcare telah menunjukkan daya tahan dan pencapaian kejayaan yang luar biasa dengan pertumbuhan ketara merentas metrik kewangan utama,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, pada 4QTK2023 pendapatan KMI Healthcare meningkat sebanyak 19 peratus kepada RM332.8 juta, berbanding dengan RM279 juta pada tahun yang sama sebelumnya. 

“Keuntungan pendapatan tersebut didorong oleh peningkatan dalam bilangan pesakit dirawat (meningkat 13% YoY), kadar penghunian katil (meningkat 15% YoY), dan purata hasil bagi setiap pesakit dalam (meningkat 9% YoY). 

“EBITDA juga turut meningkat sebanyak 49 peratus daripada tahun sebelumnya kepada RM52.9 juta. PBT juga turut meningkat secara mendadak kepada RM31.3 juta daripada RM16.5 juta pada TK2022,” jelasnya. 

Katanya, KMI Healthcare mengendalikan pengurusan operasinya dengan cekap yang seterusnya menghasilkan margin yang lebih tinggi. 

"Kami sangat teruja untuk melaporkan satu lagi tahun prestasi kewangan yang kukuh. KMI menyasar untuk menjadi penyedia penjagaan kesihatan yang lebih mengutamakan pesakit dengan menambah baik perkhidmatan klinikal dan melaksanakan program titik sentuh (customer touchpoint) pelanggan. Dedikasi dan komitmen pasukan telah membolehkan kami memberikan hasil yang cemerlang.

"Reputasi Syarikat dalam sektor penjagaan kesihatan telah dikuatkan lagi oleh pencapaian rekod enam anugerah yang diterima pada TK2023. Ini termasuk anugerah berprestij yang mengiktiraf kecemerlangan dalam reputasi jenama dan inovasi penyediaan perkhidmatan kesihatan termasuk Healthcare Asia Awards dan Brand Laureate Best Brand Awards,” ujarnya.