• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

KMI Healthcare Lancar Perkhidmatan Ortopedik di Tawau

TAWAU, 13 Mei – KMI Tawau Medical Centre (“KMI Tawau”), salah sebuah rangkaian hospital milik Kumpulan Medic Iman (“KMI Healthcare”) di bawah anak syarikat kerajaan Terengganu, secara rasminya melancarkan perkhidmatan ortopedik pada kelmarin.

Pengarah KMI Tawau, Anuar Ali berkata pelancaran tersebut menandakan hospital KMI Tawau telah berkembang terutamanya dalam pengendalian rawatan yang berkualiti bagi merealisasikan slogan syarikat iaitu ‘Menerajui Kehidupan Sihat’.

“Antara rawatan yang ditawarkan oleh perkhidmatan Ortopedik KMI Tawau adalah prosedur invasif minimal, pembedahan sukan, pembedahan tulang belakang, artroplasti, pembetulan kecacatan anggota badan, masalah tangan, kaki, dan buku lali.

“Kami juga menyediakan penjagaan luka, ubat regeneratif, pengurusan trauma dan patah tulang serta pengurusan kesakitan,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.

Tambah Anuar, bagi menyokong perkhidmatan Ortopedik di KMI Tawau, sistem pengimejan C-arm telah diperoleh bagi membantu dalam pengendalian rawatan yang lebih cekap dan berkesan. 

Menurutnya, peranti C-arm ini menyediakan pengimejan masa nyata dan mengurangkan pendedahan radiasi bagi membantu pesakit pulih dengan lebih cepat serta rawatan yang dilakukan adalah lebih tepat.

Jelasnya lagi, bagi menjamin keselamatan pesakit dan kakitangan perubatan, model ini mempunyai penjana frekuensi harmonik (Harmonic Frequency Generator atau HFG) yang berkuasa dan tiub pusingan dengan pendedahan sinar-X berdos rendah.

“Perkhidmatan Ortopedik di hospital ini telah bermula pada Julai 2023 dan teknologi C-arm secara rasminya telah digunakan pada Disember 2023.

"Perolehan dari perkhidmatan Ortopedik telah meningkat sebanyak 135% pada suku keempat 2023 berbanding suku ketiga tahun yang sama," ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Besar KMI Tawau, Zainulalim Samsudin dalam kenyataannya berkata, KMI Tawau komited dalam memperkembangkan perkhidmatan disiplin perubatan bagi merealisasikan reputasi penjagaan kesihatan bermutu di Tawau. 

“KMI Tawau akan sentiasa berusaha untuk memberi perkhidmatan professional kepada pesakit dan selaras dengan misi syarikat iaitu menyediakan penjagaan yang selamat dan berkualiti kepada pelanggan.

“Pada suku keempat 2026, pembangunan blok baru sebanyak enam tingkat akan dijangka siap di KMI Tawau dengan penempatan katil sebanyak 52 buah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan baharu serta teknologi terkini,” katanya.

 

 

 

 

 


Tag: