• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Komuniti Kampung Sambut Baik Pengumuman Air Percuma

KUALA NERUS, 10 Ogos – Setelah diumumkan bahawa mereka terjejas di dua daerah mendapat air percuma selama dua bulan sebaik proses membaik pulih bekalan selesai, tinjauan mendapati rata-rata reaksi positif antaranya daripada Kampung Pak Tijah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di sini, Zainal Lasim berkata, hampir seribu buah rumah yang terkesan dalam komunitinya sejak gangguan berlaku 2 Ogos lalu.

Katanya, beliau sangat berbesar hati dengan pengecualian bayaran bil air yang diumumkan Menteri Besar Terengganu itu.

“Rata-rata saya temui gembira dengan pengumuman tersebut dan berpuas hati dengan keprihatinan Menteri Besar kita,” katanya ketika ditemubual pemberita, baru-baru ini.

Seorang penduduk, Rohaya Abd. Karim mengucapkan terima kasih terhadap pengecualian tersebut yang dapat meringankan beban keluarganya.

“Sekurang-kurangnya ia dapat melegakan penduduk disini, Alhamdullilah setakat ini bantuan bekalan air bersih dan penyediaan tangki air sedikit sebanyak mengekalkan keperluan asas ini,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab berkata, pengumuman itu tepat pada waktunya ekoran ada keluhan rakyat mempersoalkan jika bil akan berjalan seperti biasa sedangkan air tidak dapat digunakan.

“Keluhan itu juga banyak diterima oleh Pengerusi JPKK yang terlibat dalam bantuan air rumah ke rumah sekarang.

“Air tak boleh pakai tapi bil macam mana? Harap bil air nanti tak payah la kira dan Alhamdulllilah, jawapan sudah diberi oleh pemimpin negeri,” jelasnya semasa kerja mengagih air rumah ke rumah.

Pada Selasa lalu, pengguna yang terjejas dijangka akan mula mendapat bekalan air secara berperingkat pada jam 12 pagi 14 Ogos ini menurut Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh.