lightning-solid
Berita :
Komuniti Nelayan Tulang Belakang Keterjaminan Makanan Negara
Komuniti Nelayan Tulang Belakang Keterjaminan Makanan Negara
Noraini Jusoh
17 jam yang lepas
94

Oleh: Fatin Athirah

KUALA NERUS, 31 Disember – Komuniti nelayan disifatkan sebagai tulang belakang keterjaminan makanan negara, khususnya dalam membekalkan sumber protein berkualiti kepada generasi masa depan.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr. Alias Razak berkata, peranan nelayan bukan sekadar menyumbang kepada ekonomi negara, sebaliknya memberi kesan langsung terhadap kesihatan dan tumbesaran kanak-kanak, khususnya dalam aspek pemakanan seimbang.

Katanya, pengambilan protein mencukupi seperti ikan, telur dan susu merupakan faktor paling penting bagi memastikan pertumbuhan fizikal serta perkembangan minda kanak-kanak berada pada tahap optimum.

 "Ikan yang dibawa pulang oleh nelayan merupakan sumber protein terbaik, bukan sahaja untuk kesihatan tubuh badan malah berupaya menyokong kecemerlangan akademik anak-anak, termasuk dalam peperiksaan penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap  pada Majlis Temu Murni Nelayan DUN Bukit Tunggal yang berlangsung di Kompleks Tarbiyah at-Taqwa (KOMTAQ), KIampung Batu Enam di sini.

Pada masjlis tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 225 orang nelayan berdaftar bagi meringankan beban mereka menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL).

Dalam masa yang sama, Dr Alias turut mengingatkan para nelayan agar sentiasa berbangga dengan kerjaya mereka yang disifatkan sebagai satu pekerjaan mulia di sisi agama.

“Kerja seorang nelayan sangat mulia yang diperintahkan oleh Allah SWT. Jangan kita rasa benda ini satu kerja yang tidak hormat.

"Setiap usaha mencari rezeki di laut perlu diniatkan sebagai ibadah, dengan penuh keikhlasan demi kesejahteraan keluarga dan masyarakat," ujarnya.

Mengulas lanjut, Dr Alias memaklumkan kerajaan negeri komited dalam memelihara dan memperkasa sumber laut melalui pelaksanaan tukun tiruan. 

Katanya, sejak tahun 2006 sehingga kini, sebanyak 1,579 unit tukun tiruan telah dilabuhkan di perairan Terengganu, sekali gus menjadikan negeri ini mencatatkan kepadatan ikan tertinggi di Pantai Timur, iaitu sekitar 75 peratus.

“Kerajaan negeri menggunakan tukun jenis ‘kubuat’ yang besar dan berat bagi menggalakkan pembiakan ikan serta menghalang aktiviti pukat tunda daripada merosakkan ekosistem laut,” katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan