• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kontinjen JBPM Capai Sasaran Pingat SUKBOM

Timbalan Pengarah JBPM Terengganu, Sharikan Bustaman (berdiri, tengah) meraikan kejayaan atlet kontinjen Terengganu dalam Sukan Bomba Malaysia (SUKBOM) 2018 di Melaka yang berakhir Isnin lalu.

Kontinjen Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu membawa pulang 10 pingat emas dalam Sukan Bomba Malaysia (SUKBOM) 2018 di Melaka, baru-baru ini.

Timbalan Penguasa JBPM, Rozizah Abnihajar yang juga ketua kontinjen berkata, kutipan tersebut mencapai sasaran dan turut melakar sejarah tersendiri dengan dinobatkan juara keseluruhan bagi acara ping pong dengan jumlah pungutan dua emas dan satu gangsa.

Jelasnya, kesemua 10 pingat emas itu turut diperoleh menerusi acara badminton, olahraga, bowling, 'Mr Wonderful' dan golf.

"Penyertaan kali ini merupakan pencapaian terbaik terutama dalam acara balapan, dan kejayaan ini adalah hasil usaha gigih dan komitmen yang tinggi dalam kalangan atlet.

"Kontinjen yang melibatkan 82 orang atlet memberikan kerjasama yang cukup baik sehingga meletakkan JBPM Terengganu di tangga keenam berbanding kedudukan kelapan dalam SUKBOM 2016 yang lalu di Negeri Sembilan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita, semalam.

Rozizah yang juga Ketua Balai JBPM Kuala Terengganu turut mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang terlibat..

SUKBOM 2018 berlangsung di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), menyaksikan kontinjen ibu pejabat muncul juara keseluruhan menerusi kutipan 22 emas.

Kejohanan dwitahunan akan datang dijadualkan berlangsung di Pulau Pinang pada tahun 2020.

Tag: