• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Kontinjen SUKMA Terengganu Kini Sedia Bangkit, Rampas Gelaran Juara

KUALA TERENGGANU, 25 April- Dengan slogan 'Hanelang Bangkit 2024', kontijen SUKMA Terengganu disasarkan untuk merampas kembali gelaran juara keseluruhan Temasya SUKMA XXI di Sarawak dengan pelbagai persediaan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim, berkata justeru itu latihan awal telah dimulakan pada 1 November 2022 dan kini kontinjen telah memasuki fasa tiga latihan sejak 1 Januari 2024 yang merupakan fasa akhir bagi persediaan atlet dan pasukan.

"Sebanyak 20 strategi persediaan atlet fasa tiga telah dirangka dan sebahagiannya telah dilaksanakan bagi memastikan kontinjen bersedia sepenuhnya.

"Antaranya mengemas kini unjuran sasaran pingat emas kontijen negeri serta atlet saingan secara bulanan yang mana atlet sasaran emas diberikan penumpuan khusus dalam pemantauan, sokongan sains sukan, kebajikan serta ujian-ujian kecergasan dan kemahiran," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Husaimi Hussin  (PAS- Hulu Besut) yang ingin tahu bagaimana persediaan kontigen SUKMA Terengganu bagi menghadapi persaingan SUKMA 2024 dalam sesi soal lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tambahnya, program pemantapan pasukan turut diadakan seperti bengkel, kursus, ceramah, ujian kecerdasan serta sesi taklimat kepada pegawai dan atlet yang terlibat sepanjang tahun 2024.

Untuk rekod, SUKMA 2022 menyaksikan kontinjen Terengganu bergelar naib juara dengan meraih 64 pingat emas, 49 perak dan 56 gangsa dalam temasya sukan terbesar tanah air itu bukan sahaja melebihi sasaran, malah ia menjadi sejarah kerana berjaya meraih kutipan pingat emas terbanyak sejak SUKMA 19 edisi lalu.

Penganjuran SUKMA XXI akan diadakan di sembilan bahagian Sarawak yang menempatkan sebanyak 37 kejohanan sukan.

Bagi daerah Kuching, sebanyak 25 sukan akan berlangsung dan selebihnya akan diadakan di Samarahan, Sri Aman, Serian, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.