• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Konvoi Kemerdekaan YADIM Terengganu Santuni Masyarakat

KUALA TERENGGANU, 17 September – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Terengganu telah menganjurkan Konvoi Kemerdekaan Keluarga Malaysia 2022 bersempena Hari Malaysia, semalam. 

Menurut Penyelaras Program, Nor Mazila Mohd Zin, konvoi tersebut berlangsung secara serentak oleh pihak YADIM di seluruh Malaysia pada hari itu. 

“Konvoi kita pada hari ini akan ke Taman Rahmat, Pulau Kerengga untuk menyantuni golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) di sana.

Rider Grab Food antara yang menyertai Konvoi Kemerdekaan Keluarga Malaysia 2022

“Selain itu, kita juga mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan Surau Taman Rahmat dan ziarah di sekitar kawasan tersebut,” kata Nor Mazila ketika ditemu bual pemberita.

Tambahnya lagi, antara kelainan pada program kali ini ialah penglibatan penghantar makanan Grab Food yang dikumpulkan untuk menghantar makanan ke rumah-rumah di taman tersebut. 

“Pada sebelah petang pula kita adakan aktiviti ‘street dakwah’ di Pantai Kelulut dan program ini akan berakhir di sana,” katanya lagi. 

Pelepasan konvoi tersebut telah dirasmikan dan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi di perkarangan Masjid Tengku Tengah Zaharah. 

Kira-kira 80 orang peserta telah menyertai konvoi  ini yang terdiri daripada ‘rider’ Grab Food, Sukarelawan YADIM dan para mahasiswa.