• 01 Mei 2024 | 22 Syawal 1445

Koperasi Jana Ekonomi Rakyat DUN Pengkalan Berangan



Oleh : Khairan Mat Jusoh

MARANG - Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan bakal menubuhkan koperasi di DUN berkenaan tidak lama lagi, sebagai platform menjana ekonomi dan sumber terutama tanah yang boleh dimajukan di kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Ustaz Sulaiman Sulong, berkata pihaknya mahu hasrat kebanyakan penduduk sejak sekian lama untuk menubuhkan koperasi dapat direalisasikan, sekali gus memberi manfaat kepada peserta.

Sehubungan itu, satu perjumpaan khas dilaksanakan bagi memperincikan hasrat penubuhan koperasi itu yang bukanlah satu perancangan baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-14, sebaliknya dirancang sejak sekian lama.

"Kita harap supaya koperasi ini mampu untuk menampung kekurangan atau kelemahan yang ada pada kita, untuk memastikan tanah ataupun apa jua aset yang kita ada ini, masih lagi berlegar di kalangan kita dapat diselesaikan dan memberi manfaat pada semua.

"Jadinya, kita benar-benar mengharap koperasi ini akan menjadi satu pemangkin untuk menggerakkan agenda ekonomi dan juga menjadi satu tempat untuk kita mempertahankan tanah ataupun tempat-tempat yang dikatakan istimewa,"katanya.




Beliau berkata demikian ketika perjumpaan di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Merchang, di sini, malam tadi.

Perjumpaan itu dihadiri beberapa Ahli Majlis Daerah Marang, kakitangan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS ) serta Pengerusi dan Jawatankuasa MPKK dari beberapa kampung.

Dalam perbincangan tersebut turut mencadangkan beberapa nama untuk koperasi tersebut sebelum diakhiri dengan ucapan penutup oleh ADUN berkenaan.


Tag: