KUALA TERENGGANU, 7 Mei – Kerajaan negeri akan terus mengangkat cadangan projek menaik taraf jalan pantai dari Kemaman hingga Besut secara berperingkat menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), termasuk laluan Kuala Terengganu ke Setiu yang belum dihantar sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Bandar negeri, Dato’ Hanafiah Mat berkata, projek berkenaan tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh kerana melibatkan kos yang tinggi selain perlu melalui proses kelulusan kerajaan Persekutuan.
Menurut beliau, beberapa laluan utama yang dikenal pasti sebagai ‘missing link’ telah disenaraikan dalam permohonan RMK12 Rolling Plan 5 (RP5) dan RMK13 Rolling Plan 1 (RP1) serta Rolling Plan 2 (RP2).
“Jalan itu kita baiki ‘stage by stage’, tidak secara menyeluruh lagi. Di Setiu sendiri ada beberapa tempat yang perlu diberi perhatian.
“Projek naik taraf laluan dua lorong kepada empat lorong telah disenaraikan untuk pertimbangan dalam RMK13 RP1 dan apabila belum mendapat kelulusan, kita cadangkan semula untuk dimasukkan dalam RP2,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berkaitan perkembangan manifesto PAS Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke 15 lalu mengenai projek jalan pantai Kemaman hingga Besut, di Wisma Darul Iman.
Antara projek yang dikemukakan termasuk menaik taraf laluan FT003 dari Persimpangan Tanjung Jara ke Persimpangan Che Lijah di Dungun bernilai lebih RM272 juta, laluan FT145 dari Bukit Anak Dara ke Bukit Kuang di Kemaman bernilai hampir RM494 juta dan laluan FT003 dari Kampung Serating ke Kampung Gong Balai di Marang bernilai lebih RM252 juta.
Dalam pada itu, Hanafiah turut menjelaskan bahawa laluan Kuala Terengganu ke Setiu belum dimasukkan dalam cadangan awal kerana projek tersebut dipecahkan mengikut pakej.
“Daripada Kemaman ke Marang telah kita angkat dahulu. Kuala Terengganu ke Setiu belum dihantar lagi dan kita akan angkat semula dalam RP3 nanti,” katanya.
Menurut beliau, cadangan RP3 dijangka dikemukakan sekitar Julai ini bagi mendapatkan pertimbangan kelulusan tahun hadapan.
Katanya, keseluruhan projek yang dicadangkan dianggarkan melebihi RM400 juta dan menjadi antara fokus utama kerajaan negeri bagi mengurangkan kesesakan dana melengkapkan rangkaian jalan pantai di Terengganu.
Tag :