• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

KQT Diiktiraf IPT Berdaya Saing 2022

KUALA TERENGGANU, 28 Januari – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengiiktiraf Kolej al-Quran Terengganu sebagai Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang berdaya saing di bawah penilaian Malaysian Quality Evaluation System (MyQuest) tahun 2022 sekali gus diklisifikasikan dalam kumpulan IPT cemerlang dan memenuhi kriteria penilaian di bawah penarafan IPT Malaysia.

Serentak itu Pengerusi Jawatakuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat mengucapkan tahniah kepada KQT di atas penganugerahan tersebut.

“Tahniah saya ucapkan kepada KQT kerana dinobatkan sebagai IPT yang Berdaya Saing di bawah penilaian Malaysian Quality Evaluation System atau MyQuest bagi tahun 2022 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.

"Ia diklasifikasikan dalam kumpulan IPT yang cemerlang dan memenuhi kriteria penilaian di bawah penarafan IPT Malaysia,” katanya ketika berucap di Majlis Imaratul Ilmi Ke 4 di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Ab Rasid Jusoh, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Ahmad Shah Muhamed, Senator Dato’ Husain Awang dan Pengarah MBI Modal Sdn Bhd, Mazli Zakuan Mohd Nor.

Satiful Bahari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka berkata, hampir 80 peratus graduan KQT berjaya menyambung pengajian ke peringkat ijazah dalam pelbagai bidang di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA). KQT kini juga menawarkan program diploma di dalam bidang Tafsir al-Quran, Pengajian Hadis, Akidah Islamiah, Syariah Islamiah, Bahasa Arab dan Dakwah selain Diploma Tahfiz Al-Quran dan Qiraat serta Diploma Tahfiz dan Bahasa al-Quran.

“Program-program tersebut juga bakal menjadi platform dalam melahirkan bakal-bakal pemimpin yang menjadikan al-Quran sebagai tonggak utama,” ujarnya.

KQT juga katanya menawarkan pengajian Diploma Eksekutif Pengajian Tafsir Al-Quran, menyasarkan golongan orang awam bekerja dan berhasrat melanjutkan pengajian di dalam bidang tafsir al-Quran.

Menurut beliau, KQT sedang giat membangunkan Program Ijazah Sarjana Muda dengan usahasama dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), menawarkan juga sedang giat dibangunkan oleh KQT.

"KQT juga bergerak maju apabila mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti luar waktu belajar termasuk Pertandingan Invention, Innovation & Design on e-Learning (IIDEL) di UniSZA Kuala Terengganu, 23 hingga 24 Ogos 2023 lalu, Kejohanan Sukan Mahasiswa Zon Timur 2023 di Kompleks Belia dan Sukan Panji, Kota Bharu, Kelantan dan International Mawahib Competition 2023 sempena World Arabic Language Day yang dianjurkan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Selangor baru-baru ini," jelasnya.

Seramai 422 graduan Pengajian Ulum Al- Quran dan Dirasat Quraniyyah, program Kulliyyah Al-Furqan, 81 graduan program Diploma Tahfiz Al-Quran dan Qiraat serta Diploma Tahfiz dan Bahasa Al-Quran, serta tiga orang graduan Program Seni Kaligrafi Terengganu menerima ijazah dan sijil masing-masing di Majlis Imaratul Ilmi Ke-4 itu. ​

 


Tag: