• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kraf Epoxy Rezeki Lumayan Safaridzuan Selepas Hilang Kerja

KUALA TERENGGANU, 11 Disember- Pandemik COVID-19 yang melanda dunia sejak dua tahun lalu, sememangnya memberi kesan besar kepada masyarakat, apatah lagi ramai hilang pekerjaan dan punca pendapatan.

Bagi anak muda dari Kampung Kota, Manir di sini, Ahmad Safaridzuan Mohamad, 36, berkata dirinya tidak terkecuali apabila terpaksa berhadapan dengan kesan COVID-19.

Impian untuk melebarkan perniagaan perkhidmatan perancang perkahwinan yang diusahakan terkubur apabila industri perkahwinan yang sebelum ini cukup meriah bertukar suram apabila banyak majlis terpaksa dibatalkan atau ditunda disebabkan pandemik.

Bagaimanapun Safaridzuan bersyukur, keputusan berhenti menjalankan perkhidmatan perancang perkahwinan pada tahun 2020 dan beralih kepada membuat barangan kraf epoxy kini menjadi pintu pembuka rezeki baharu buat dirinya apabila seni kraf kayu yang diusahakannya itu kian mendapat sambutan.

“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa ketika itu, perniagaan tidak boleh dijalankan dan saya tidak mempunyai pendapatan lain dan apa pun terjadi saya tetap perlu mencari rezeki untuk keluarga.

“Kebetulan, saya suka tengok seni kraf epoxy yang ‘mat salleh’ buat, dan lihat tidak ramai orang Malaysia ada kemahiran menghasilkannya jadi cuba belajar cara pembuatannya di Youtube dari luar negara dengan harapan dapat mahir supaya boleh jalankan perniagaan itu," ujarnya ketika ditemui di Bengkel Pembuatan Barangan Kraf Epoxy miliknya, baru-baru ini.

Katanya, dia pernah mengikuti kursus berkaitan epoxy di Pahang pada tahun 2019 dan kerana minat mula mencari ‘trademark’ sendiri untuk mempromosikan hasil kraf yang diusahakan sebaik terbabit secara serius dalam seni pembuatan barangan kraf epoxy itu sejak April 2020.

“Kerana mempunyai nilai estetika tersendiri, saya hanya menggunakan kayu jenis cengal dan merbau sahaja untuk menghasilkan barangan kraf menggunakan teknik epoxy seperti meja, jam dinding dan lain-lain.

"Paling mahal pernah dijual ialah meja kayu merbau epoxy dengan harga RM50,000 di Perak pada Oktober 2021.

"Alatan kraf lain yang juga mendapat sambutan tinggi ialah jam dinding epoxy dengan harga RM400 hingga RM700 setiap satu,” ujarnya.

Ahmad Safaridzuan berkata, disebabkan harga bahan mentah seperti kayu yang digunakan dan alatan termasuk cecair epoxy yang mahal menyebabkan harga barangan kraf yang dihasilkan agak tinggi.

"Biasanya, satu-satu tempahan itu dapat disiapkan dalam tempoh sebulan hingga dua bulan dengan dibantu dua pekerja.

“ Untuk mendapatkan hasil yang berkualiti pula, saya hanya membuat barangan kraf epoxy apabila mendapat tempahan, dan dalam setahun lebih kurang 30 produk dapat dijual,” ujarnya.
 


Tag: