• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

KSN Dilantik Pro Canselor UMT Baharu

KUALA TERENGGANU, 17 Mac- Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa pada 1 Mac lalu hingga 28 Februari 2027.

Naib Canselor UMT, Prof Dato’ Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata, pelantikan anak jati Terengganu itu telah mendapat perkenan Canselor UMT yang juga Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Menurut Mazlan, pengalaman luas dalam bidang pengurusan dan pentadbiran kerajaan telah melayakkan Mohd Zuki menerima pelbagai anugerah sehingga dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara sejak 31 Disember 2019.

“Dari segi latar belakang perkhidmatan, beliau juga pernah dilantik menyandang jawatan Setiausaha Sulit Kanan Kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke-13 dari 2006 hingga 2011 dan kemudiannya sebagai Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri pada 2015 hingga 2016. 

“Beliau juga pernah dilantik sebagai Setiausaha Persekutuan Sarawak pada 2016 dan Timbalan Setiausaha Kanan Kerajaan pada 2019,” ujarnya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Katanya, UMT yakin dengan pengalaman dan ketokohan Mohd Zuki, pelantikan tersebut akan membantu dalam melonjak citra UMT sebagai institusi pendidikan tinggi berfokus marin yang terunggul dalam negara dan disegani global.

Tambah beliau, selain Mohd Zuki UMT turut mempunyai seorang lagi Pro Canselor iaitu Tan Sri Samsudin Osman.

Mohd Zuki memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (Kewangan) dari Universiti Teknologi Nanyang, Singapura.