lightning-solid
Berita :
Kuala Nerus Catat Penyertaan Teramai dalam Walimatul Urus Perdana 2025
Kuala Nerus Catat Penyertaan Teramai dalam Walimatul Urus Perdana 2025
Arifuddin Alias
15 Sep 25
261

Foto oleh - Fazlee Aziz

KUALA NERUS, 15 September – Seramai 39 pasangan Raja Sehari diraikan penuh gilang-gemilang dalam Majlis Walimatul Urus Perdana 2025 Peringkat Daerah Kuala Nerus anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim, berkata majlis ini diadakan serentak bagi meraikan keseluruhan pasangan yang mengambil bahagian di seluruh negeri.

“Kerajaan Negeri mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pengantin baru yang telah diijabkabulkan secara serentak di seluruh negeri, melibatkan 192 pasangan, termasuk 39 pasangan dari daerah Kuala Nerus,” ujar beliau ketika menyempurnakan majlis perasmian di Dewan Jubli Perak, Pejabat Daerah Kuala Nerus, semalam.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah ADUN Seberang Takir, Khazan Che Mat. 

Hishamuddin yang juga ADUN Tepoh turut memaklumkan, daripada 39 pasangan di Kuala Nerus, seramai 14 pasangan adalah dari DUN Tepoh, manakala selebihnya terdiri daripada 8 pasangan DUN Seberang Takir, 6 pasangan DUN Buluh Gasing, 3 pasangan DUN Bukit Tunggal dan 8 pasangan DUN Batu Rakit.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ahmad Azizi Zulkefli, menegaskan penglibatan Kerajaan Negeri dalam program ini telah meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan yang ada pada hari ini.

“Program Walimatul Urus Perdana merupakan detik bersejarah buat ibu bapa dan anak-anak. Tanpa kerajaan yang prihatin dan cakna terhadap rakyat, tidak mungkin kita dapat berada dalam majlis yang sebegini gah dan turut dihadiri pemimpin utama negeri,” katanya.

Tambah beliau lagi, pelbagai manfaat diberikan kepada pasangan pengantin sebagai kemudahan di hari bahagia mereka.

“Sukacita dimaklumkan, setiap pasangan yang menyertai program ini akan menerima pelbagai faedah termasuk 1 set persalinan pakaian akad nikah (lelaki dan perempuan), khidmat jurunikah dan dokumen nikah yang ditanggung Kerajaan Negeri, pakej set perkahwinan (pelamin, andaman, kad jemputan serta khidmat jurugambar), selain jamuan khas pengantin bersama keluarga terdekat,” jelasnya.


Tag :

Artikel Berkaitan