• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Kuala Terengganu Bandar Paling Bahagia

KUALA TERENGGANU, 20 Mac – Kuala Terengganu diiktiraf dan tersenarai antara 10 Bandar Paling Bahagia di Malaysia pada tahun ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia susulan, kajian yang dilaksanakan daripada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).

“Alhamdulillah, walau apapun kriteria yang dilihat dalam menentukan pencapaian ini namun saya amat berharap agar rakyat Terengganu benar-benar merasa bertuah dan sejahtera berada di negeri ini. 

“Selamat Hari Kebahagiaan Sedunia buat semua, kita sambut ia dengan rasa syukur kepada Ilahi yang melahirkan rasa tenang dalam diri kita,” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini.

Turut tersenarai adalah Jeli, Jerantut, Cameron Highlands, Lenggong, Bandaraya Melaka, Petaling Jaya, Port Dickson, Kulai dan Rompin sebagai bandar paling bahagia melalui Kajian Indeks Kebahagiaan Malaysia 2024 (PLANMalaysia).

Untuk rekod, Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia telah diraikan setiap tahun pada 20 Mac di seluruh dunia sebagai pengiktirafan kepada hubung kait antara keseimbangan pembangunan fizikal, sosial dan alam sekitar ke arah kebahagiaan dan kesejahteraan penduduk sejagat.

Di Malaysia, Hari Kebahagiaan Sedunia Peringkat Kebangsaan disambut secara rasmi sejak tahun 2015.


Tag: