KUALA TERENGGANU, 9 Februari – Kuala Terengganu Drawbridge menawarkan kemasukan percuma kepada pengunjung sempena hari lahir atau sepanjang bulan kelahiran, menerusi promosi khas yang dilaksanakan sepanjang tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Ti Properties Sdn. Bhd., Awasi Mohamad berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha pihak pengurusan bagi menghargai pengunjung selain memperkukuh peranan Kuala Terengganu Drawbridge sebagai salah satu tarikan pelancongan utama negeri.
“Tawaran kemasukan percuma ini diberikan bersempena hari lahir atau bulan kelahiran pengunjung sebagai tanda penghargaan serta usaha mendekatkan orang ramai dengan mercu tanda ikonik negeri Terengganu,” katanya.
Menurut beliau, pengunjung hanya perlu mengemukakan kad pengenalan sebagai bukti tarikh lahir bagi menikmati kemasukan percuma tersebut.
Tambah Awasi, pelaksanaan promosi berterusan itu diharap dapat meningkatkan jumlah pengunjung ke Kuala Terengganu Drawbridge sekali gus menyumbang kepada perkembangan sektor pelancongan negeri sepanjang tahun.
“Kami berharap setiap pengunjung yang datang bukan sahaja menikmati pemandangan, malah pulang dengan pengalaman yang menyeronokkan dan kenangan indah di Drawbridge,” ujarnya.
Jadi, kalau hari lahir anda makin dekat, jangan lupa singgah Kuala Terengganu Drawbridge. Ambil gambar, nikmati pemandangan dan paling penting… masuk PERCUMA!