• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Kualiti RMM Dorong Terengganu Terpilih Bandar Paling Bahagia

KUALA TERENGGANU, 24 April – Pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) berkualiti merupakan antara sebab Terengganu menerima anugerah bandar paling bahagia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, mengucapkan tahniah kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Majlis Perbandaran Dungun (MPD), Majlis Daerah Besut (MDB), Majlis Daerah Marang (MDM), dan Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) atas anugerah yang diperoleh.

“Penghargaan tersebut merupakan pengiktirafan kepada usaha bersama pihak berkuasa tempatan dalam meningkatkan kesejahteraan penduduk dan keharmonian masyarakat di seluruh Terengganu. 

"Saya berharap agar momentum ini dapat menjadi pemangkin untuk usaha lebih gigih dalam pembangunan dan penyelenggaraan bandar di masa hadapan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman semalam.

Tambah Sulaiman, pembangunan tonggak utama dalam mengejar impian kegemilangan dan kesejahteraan.

Jelasnya lagi, seiring dengan perjalanan masa, Terengganu terus melangkah ke hadapan dengan gagah dan bersemangat.

“Melalui usaha gigih dan kesungguhan, kita menyaksikan pembangunan pesat di pelbagai bidang, dari pembangunan infrastruktur yang memudahkan mobiliti penduduk sehingga kepada peningkatan pendidikan, ekonomi dan kebudayaan.

“Namun, pembangunan sejati tidak hanya diukur melalui kemajuan fizikal semata-mata, ia juga terletak kepada persepaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.


Tag: