Berita :
Kukuh Gerakan Koperasi Negeri-Ariffin
Kukuh Gerakan Koperasi Negeri-Ariffin
Noraini Jusoh
17 jam yang lepas
91

KUALA TERENGGANU, 19 April – Peluang baharu dalam sektor koperasi, cabaran semasa serta inisiatif bagi memastikan koperasi terus relevan dan berdaya maju antara agenda utama dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Negeri (MPKN) Terengganu Bil. 1/2026 di Pejabat Daerah Kuala Nerus, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato’ Ariffin Deraman yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, ia dianjurkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Negeri Terengganu bagi memperkukuh sinergi antara agensi Kerajaan dan gerakan koperasi di peringkat negeri.


Katanya, mesyuarat tersebut bertindak sebagai platform penting bagi membincangkan hala tuju pembangunan koperasi serta menyelaras isu-isu berbangkit demi kelestarian ekonomi gerakan koperasi di Negeri Terengganu.

“Mesyuarat ini menjadi platform penting untuk membincangkan strategi memperkasakan koperasi, meningkatkan daya saing, serta memperluaskan peranan koperasi dalam pembangunan ekonomi negeri.

“Setiap idea yang dikongsi membawa harapan agar koperasi terus berkembang, lebih berdaya saing, dan mampu memberi manfaat yang lebih luas kepada masyarakat,” ujar Ariffin dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau.

Mengulas lanjut katanya, sesi mesyuarat turut memfokuskan kepada beberapa pembentangan utama antaranya meneliti perangkaan statistik dan pencapaian koperasi di Negeri Terengganu bagi tempoh sehingga 31 Disember 2025 oleh SKM.

“Institut Koperasi Malaysia (IKMa) membentangkan perancangan program latihan dan Pelan Strategik Modal Insan Tahun 2026.

“Sementara, Konsortium Koperasi Kedai Runcit Kariah Masjid Terengganu Berhad membentangkan laporan kemajuan Program Pemerkasaan Koperasi Kariah Masjid (K4MART) bagi menjamin ketersediaan barangan asas kepada komuniti,” ujarnya.

Tambah beliau, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu turut membuat kupasan mengenai peluang dan hala tuju aktiviti pelancongan negeri bagi mengintegrasikan produk koperasi ke dalam ekosistem pelancongan perdana.

“Manakala, Koperasi Usahawan Raih Terengganu Berhad pula membuat perkongsian peluang dalam industri makanan dan minuman (F&B),” ujarnya.

Katanya, mesyuarat ini telah dihadiri oleh wakil-wakil agensi Negeri dan Persekutuan yang memberikan komitmen padu untuk memperkasa jaringan perniagaan dan memastikan sokongan Kerajaan Negeri terus diperkukuh. 


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan