• 24 Jul 2024 | 17 Muharam 1446

Kumpulan EPIC Catat Perolehan RM344 Juta

KUALA TERENGGANU, 20 Jun- Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (Kumpulan EPIC) mengumumkan perolehan sebanyak RM344.0 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023(TK2023), peningkatan daripada RM343.1 juta bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2022 (TK2022).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Ts. Muhtar Suhaili menjangkakan, pertumbuhan perolehan akan meningkat lebih baik tahun ini, didorong oleh pelbagai inisiatif dan projek yang sedang dijalankan oleh syarikat.

Menurutnya, ia diperlihatkan oleh Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai, dan Pelunasan (EBITDA) yang kekal kukuh pada jumlah RM81.0 juta mempamerkan kemampanan perniagaan syarikat untuk pertumbuhan dan keuntungan masa hadapan.

"Apa yang paling memberangsangkan bagi TK2023 ialah lonjakan Keuntungan Selepas Cukai (PAT) kepada RM8.9 juta yang mana ia lebih sekali ganda daripada RM3.9 juta pada TK2022.

""Prestasi kewangan yang kukuh pada TK2023 dan lima bulan pertama TK2024 jelas menunjukkan fokus strategik dan kecemerlangan operasi.

"Pihak syarikat komited untuk meneruskan usaha memacu pertumbuhan dan memberikan nilai yang mampan kepada para pemegang saham melalui projek dan pelaburan strategik berterusan," katanya.

Makluman berita baik itu dijelaskannya melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan selepas selesai Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-43 yang dipengerusikan Pengarah EPIC Berhad, Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, di sini hari ini.

Dalam AGM berkenaan, turut dibentangkan bahawa Kumpulan EPIC mencatatkan peningkatan perolehan sebanyak 23% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023.

Keuntungan kasar pula naik 42% kepada RM67.0 juta, manakala Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) direkodkan mencapai RM24.0 juta, 5.7 kali lebih tinggi daripada tempoh yang sama tahun lalu.

"Tinjauan prestasi lima bulan pertama tersebut berakhir dengan rekod cemerlang PAT sebanyak RM15.5 juta, kenaikan ketara melebihi sasaran keseluruhan PAT yang diluluskan bagi tahun 2024 iaitu pada jumlah RM14.5 juta.

"Melangkah ke hadapan, EPIC Berhad optimis untuk mengekalkan trajektiori positif dan komited dalam melaksanakan strategi perniagaan, termasuklah projek-projek yang sedang berjalan dan dirancang terutamanya Projek Pembesaran Pelabuhan Kemaman, Fasiliti Pengitaran Semula Kapal dan Pelantar Hijau atau ‘Green Ship Recycling Facility’ (GSRF) serta proses menaik taraf fasiliti-fasiliti pelabuhan untuk menampung peningkatan permintaan yang akan dipacu oleh rangkaian Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)," ujarnya.

Tambahnya, pihak syarikat juga sedang meneroka beberapa projek berprofil tinggi yang kini dalam proses bidaan, di samping pelaburan berpotensi dari dalam dan luar negara untuk pemajakan tanah milik syarikat di kawasan perindustrian Teluk Kalong sebagai pasaran masa depan.


Tag: