• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Kurangkan Politiking, Hormati Peranan Negeri

KUALA LUMPUR, 26 Februari – Semua pihak khususnya pemimpin politik digesa supaya mengurangkan 'politiking' dan menghormati peranan negeri-negeri dalam mentadbir Malaysia.

Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tumpuan sepenuhnya wajar diberi kepada usaha membangunkan negara dengan mengambilkira kedudukan setiap negeri dalam perlembagaan.

“Politik adalah salah satu kaedah untuk mencapai ke Dewan Rakyat ataupun Dewan Negara tetapi yang penting ialah semua pihak harus bekerjasama, kurangkan berpolitik.

“Kuasa negeri-negeri perlu dihormati, negeri mempunyai peranan tertentu dalam sebuah negara yang merdeka seperti Malaysia ini,” katanya ketika ditemui media di Lobi Parlimen selepas Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, di sini hari ini

Terdahulu Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan Titah Diraja pada istiadat berkenaan.

Mengulas mengenai Titah Diraja, Menteri Besar Terengganu itu berkata, Sultan Ibrahim telah bertitah dengan menekankan pelbagai aspek yang menyeluruh dalam negara kita ini.

“Ia bersangkutan masalah perpaduan dalam Malaysia, kedudukan ekonomi yang perlu diperkasakan dan sistem pendidikan tinggi yang perlu mempunyai hala tuju jelas.

“Pelbagai lagi perkara turut dititah Baginda yang terangkum di dalamnya dan sepatutnya menjadi perhatian semua pihak untuk sama-sama bergerak bersama membina negara ini,” jelasnya.


Tag: