• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Kursus Pra Perkahwinan Perdana Manfaatkan Belia Dan Beliawanis

HULU TERENGGANU, 27 September - Seramai 131 peserta menghadiri Kursus Pra Perkahwinan Perdana peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Harun berkata, program yang diadakan selama dua hari mampu memberi pendedahan terbaik kepada peserta sebelum melangkah ke alam perkahwinan.

Katanya lagi, peserta hanya perlu membayar yuran penyertaan berjumlah RM50, manakala lagi RM30 ditanggung penganjur yang mendapat kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Belia dan Beliawanis DUN bagi menjayakannya.

"Saya berpuas hati dengan sambutan yang diterima pada kursus kali ini, golongan belia di daerah ini ternyata bijak mengambil peluang disediakan.

"Tujuan utama juga ialah untuk memberi kemudahan dan meringankan beban golongan muda yang belum berkahwin mendapatkan sijil perkahwinan dengan hanya mengeluarkan sebahagian bayaran.

“Semoga dengan penganjuran ini mampu membimbing peserta bagi menempuh hidup cabaran berumah tangga dengan berpandukan ilmu dan panduan yang dicurahkan sepanjang kursus ini,"katanya pada Majlis Perasmian Penutup kursus tersebut di Dewan Tuan Guru Harun Taib (KUDQI) Kubang Lembek.

 

 

 Tambah beliau lagi, golongan muda yang ingin mendirikan rumah tangga juga perlu mencari pengetahuan tambahan di majlis-majlis ilmu agama bagi memastikan mahligai dibina diberi keberkatan Allah SWT. dan mendapat keluarga ‘sakinah’, ‘mawaddah’, dan ‘rahmah’. 

“Pihak kami akan merancang pelbagai penganjuran program bermanfaat seperti ini pada setiap tahun agar lebih banyak ilmu mampu dicapai oleh masyarakat kawasan ini,” ujarnya.