• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Kutip 1.6 Tan Sampah Di Muara Kuala Ibai

KUALA TERENGGANU, 11 Februari - Sebanyak 1.6 tan sampah telah dikutip selama tiga jam program 'EPIC Jom Bersih 2023' yang bermula seawal 7 pagi di Muara Kuala Ibai, hari ini. 

Pengurus Besar Komunikasi Strategik dan Keselamatan Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC), Rusdi Ngah berkata program itu menekankan kepentingan aktiviti pembersihan dalam memupuk kesedaran serta tanggungjawab yang seharusnya digalas bersama oleh semua anggota masyarakat.

"Pihak kami menyambut baik kerjasama 140 orang sukarelawan EPIC Hero, Geng Plastik Ija (GPI), 'Green Ranjer' Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan juga Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang hadir berganding bahu membersihkan lebih daripada 200 meter kawasan muara dan pesisir pantai di Kuala Ibai,” katanya. 

Beliau dipetik berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini. 

Turut hadir bagi menyokong program ialah Pengurus Besar Sumber Manusia dan Pentadbiran Kumpulan EPIC, Mohd Sukeri Muhammad, Pengurus Besar Strategi Perniagaan, Prestasi, Perancangan dan Penambahbaikan, Mazlina Md Nor, Ketua GPI, Dr. Mohamad Ariff Hafizi Fouzi, Pensyarah Kanan merangkap Penyelaras Pasukan 'Green Ranger' UMT, Dr. Izan Dato’ Jaafar, 

Menurut Rusdi lagi, beliau terharu dengan kerjasama yang dijalin kerana ia membuahkan hasil yang baik, dengan kutipan sampah seberat 1.6 tan. 

Namun, beliau terkilan kerana masih ramai di luar sana yang tidak mempunyai kesedaran dalam menjaga alam sekitar. 

"Pihak syarikat berharap program ini dapat memberi inspirasi kepada semua pihak untuk bersama-sama memainkan peranan masing-masing bagi mewujudkan persekitaran yang sihat dan bersih," yang turut menyampaikan sumbangan RM4, 000 bagi pihak EPIC kepada GPI.

Manakala Dr. Mohamad Ariff pula merakamkan ucapan terima kasih kepada EPIC di atas penganjuran program tersebut.

"Hasil kutipan hari ini menunjukkan bahawa kita perlu melipat gandakan program kesedaran masyarakat supaya tiada lagi sampah yg terdampar di pantai," ujarnya.


Tag: