• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Labur Pendidikan, Kembalikan Kepada Rakyat

KUALA TERENGGANU, 31 Mac - Dunia pendidikan menjadi pelaburan yang sangat bermakna bagi Kerajaan Negeri Terengganu demi mengembalikan semula manfaat kepada rakyat melalui kemudahan dan biasiswa-biasiswa yang ditawarkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pelaksanaan Syariah dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, antaranya termasuklah dengan sebahagian pelajar yang layak bakal menikmati keistimewaan melalui Biasiswa UC TATI DIHATIKU.

“"Biasiswa yang dinamakan sebagai Biasiswa UC TATI DIHATIKU ini membuka peluang kepada pelajar yang layak bagi mengikuti program peringkat Asasi dalam bidang Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat.

"Nilai biasiswa ini adalah berjumlah RM9,000 seorang sepanjang pengajian meliputi yuran pengajian, penginapan di kolej kediaman serta menerima elaun sara hidup sebanyak RM200 setiap bulan pengajian," jelasnya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Biasiswa UC TATI DI HATIKU di sini hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Hadir sama dalam majlis tersebut, Rektor UC TATI, Prof Dr Anuar Ahmad.

Dalam perkembangan sama, Satiful turut berterima kasih kepada pihak kerajaan negeri khususnya Menteri Besar yang sudi hadir dan turut sama mempromosikan universiti kolej milik kerajaan negeri itu.

“Saya ambil kesempatan ini ucap tahniah kepada UC TATI yang berterusan mendapat sokongan daripada pihak kerajaan negeri. Kita juga berterima kasih kepada pihak kerajaan negeri khususnya Yang Amat Berhomat Menteri Besar.

“Justeru saya mengalukan dan mengharapkan anak negeri Terengganu terutamanya agar menjadikan UC TATI tempat untuk mereka menyambung pengajian dan meneruskan karier mereka. Juga kepada ibu bapa khususnya, UC TATI merupakan milik kerajaan negeri sepenuhnya.

“Hasrat kita adalah menggunakan sumber daripada hasil minyak petroleum mahupun hasil kerajaan negeri untuk mengembalikan semula kepada rakyat. Sudah barang pasti melalui dunia pendidikan adalah pelaburan yang bermakna.

“Walaupun kerajaan negeri terpaksa menggunakan kewangan yang tinggi, tapi ianya akan kembali kepada rakyat Terengganu sendiri dengan banyak program yang ditawarkan dan disediakan sekali gus menjadikan UC TATI sebagai pilihan utama mereka,” ujarnya.

Sementar itu, menurut Rektor UC TATI, Prof Dr Anuar Ahmad, permohonan itu dibuka kepada pelajar yang layak dengan menggunakan keputusan Peperiksaan Percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mereka yang lalu.


Tag: