• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Lagi Serahan Suratan Hak Milik Tanah Terkilan Di Kijal

KEMAMAN, 8 Mei - Penyerahan geran dan borang 5A tanah Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Terkilan 2004 terus berjalan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal.

Kelmarin seramai 215 orang lagi menerima suratan hak milik dan borang 5A yang melibatkan RTB kategori kediaman di Bukit Panjang, Beris Meraga, Teluk Kalong, Pondok Pasir dan RTB kategori pertanian iaitu di Sungai Mekelok.

Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Che Alias Hamid ketika berucap di majlis perasmian bersyukur kerana diberikan nikmat di bulan yang mulia ini.

"Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah kerana pada bulan Ramadan bulan yang mulia ini kita semua dianugerahkan nikmat setelah 17 tahun kita nantikan iaitu semenjak tahun 2004.

Ustaz Che Alias Hamid sedang berucap.

"Ini adalah salah satu janji Kerajaan PAS Negeri Terengganu yang telah berjaya ditunaikan dengan kerjasama Pejabat Tanah iaitu menyelesaikan masalah tanah rakyat yang dinafikan di negeri Terengganu," ucapnya.

Che Alias juga mengingatkan peserta yang menerima borang 5A supaya dapat menjelaskan bayaran premium tanah yang dianugerahkan.

"Saya mengharapkan agar semua yang menerima tanah ini dapat menjelaskan bayaran premium tanahnya secepat mungkin.

Salah seorang penerima geran hakmilik RTB Terkilan 2004.

"Jika tidak mampu untuk melunaskan kesemuanya dalam satu masa, ianya juga boleh dilakukan secara berperingkat di Pejabat Tanah," katanya.

Turut hadir ialah Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Ustaz Hazri Jusoh, Ketua Penolong Pentadbir Tanah Kemaman, Wan Saifullizam Wan Jusoh@Wan Ali, Ahli Majlis Perbandaran Kemaman, Zabidin Awang serta kakitangan Pejabat DUN Kijal dan kakitangan Pejabat Tanah Kemaman yang terlibat.

Majlis tersebut berlangsung di Dewan Sivik Kijal dengan mengikut peraturan pencegahan penularan wabak Covid-19 yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Di akhir ucapannya, Ahli Parlimen Kemaman itu juga menyeru agar semua rakyat Kemaman mendaftarkan diri untuk divaksinasikan dengan vaksin anti Covid-19 oleh kerajaan.


Tag: