• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Laluan Berbasikal Kini Dibuka Kepada Orang Ramai

KUALA TERENGGANU, 27 Februari - Laluan basikal pertama di Terengganu yang bernilai kira-kira RM4 juta sepanjang 18.6 kilometer dua hala mula dibuka kepada orang ramai bermula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata laluan basikal tersebut turut mempunyai empat mercu tanda bermula daripada Bulatan Teluk Ketapang dan tamat di Belakang Sekolah Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) (Mercu Tanda 4).

"Laluan basikal yang mempunyai panjang 9.3 kilometer sehala ini juga merangkumi pembinaan trek basikal, perabot jalan, pagar, lampu jalan dan papan tanda.

"Dengan adanya kemudahan tersebut diharap akan membudayakan aktiviti berbasikal dan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat, serta melahirkan lebih ramat atlet berprestasi tinggi dari Terengganu," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan & Perasmian Cadangan Penyediaan Laluan Basikal Dari Kuala Ibai Daerah Kuala Terengganu ke Teluk Ketapang bertempat di Dataran Batu Buruk di sini hari ini.

Tambah beliau, penyediaan laluan basikal itu turut dilihat salah satu usaha daya tarikan pelancong. 

"MBKT atau pengusaha hotel yang berdekatan boleh mewujudkan basikal untuk disewa atau dibuat pakej-pakej hotel yang merangkumi sewaan basikal disamping menikmati pemandangan di sepanjang laluan pantai," katanya lagi.

Sementara itu, Datuk Bandar MBKT, Rosli Latif ketika diminta mengulas tentang penyalahgunaan laluan basikal oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, beliau memandang serius tentang perkara tersebut serta akan mengambil tindakan yang sewajarnya.

"Kita akan memasang papan tanda amaran termasuk meletakkan batu penghadang bagi menghalang kenderaan bermotor menggunakannya selain mengenakan tindakan undang-undang setelah diwartakan.

"Orang ramai juga diminta bersikap sewajarnya sebelum melakukan perkara yang boleh merosakkan laluan basikal tersebut," katanya.