Lamanita Galak Wanita Bertani, Jana Pendapatan Dari Halaman Rumah

KUALA TERENGGANU, 7 Mei– Golongan wanita di Terengganu diseru agar mengambil peluang menceburi bidang pertanian secara lebih serius dan berterusan melalui Kursus Lamanita yang mula dianjurkan di setiap daerah negeri ini.

Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu  (USWa), Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata, program itu dirangka bagi melahirkan golongan wanita berdikari yang mampu menjana pendapatan sampingan melalui kaedah pertanian moden. 

Katanya, golongan sasaran utama terdiri daripada 40 orang peserta di setiap daerah terdiri ibu tunggal, suri rumah serta wanita B40 yang memiliki tanah lapang dan komitmen tinggi untuk mengikuti keseluruhan latihan serta aktiviti susulan.

“Kursus ini memberikan kemahiran dan pengetahuan baru kepada peserta dalam bidang pertanian dan meningkatkan pendapatan isi rumah melalui aktiviti pertanian bandar serta pemprosesan produk agro.

“Menyokong agenda kerajaan negeri dalam membangunkan sektor pertanian lestari dan mesra alam serta mewujudkan platform keusahawanan bagi wanita dalam sektor pertanian dan perniagaan produk asas tani,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pada hari ini.

Menurutnya, program ini bukan sekadar mengajar cara bercucuk tanam, tetapi juga memupuk semangat keusahawanan serta keyakinan diri dalam kalangan wanita.

Justeru itu, beliau berharap usaha seperti ini tidak hanya menjadi 'angin pasang', tetapi diteruskan secara konsisten bagi melahirkan kelompok petani wanita yang berjaya dan mampu menyumbang kepada pembangunan negeri secara berkat dan lestari.

"Kami mengharapkan program seumpama ini dapat menjadikan rakyat Terengganu bukan sekadar menanam, tetapi satu usaha menjana rezeki, menjimatkan belanja, dan paling penting, menyumbang kepada keterjaminan makanan keluarga.

“Semoga setiap benih yang ditanam menjadi amal jariah, dan bukti kesungguhan kita memakmurkan bumi ini,” tambah Roslina.


Tag: