• 12 Mei 2024 | 4 Zulkaedah 1445

Lantik Profesor Jadi Penasihat- Ahmad Razif

Ahmad Razif ketika berada pada Program Bual Bicara Intelektual dan Pra Pelancaran Majlis Profesor Negeri Terengganu

Kerajaan negeri akan melantik profesor serta pakar dari Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA)  sebagai penasihat dan pakar rujuk kepada barisan Exco Kerajaan Negeri sekiranya Barisan Nasional (BN) diberimandat untuk terus mentadbir selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pelantikan itu  merangkumi seluruh aspek pentadbiran termasuk ekonomi, kerajaan dan politik.

“Kita perlu ada pakar terutama individu yang dekat dengan projek Penyelidikan dan Pembangunan (R&D)  kerana segala yang hendak dilakukan perlu berasaskan pada kajian, sebab itu kita memerlukan khidmat daripada pakar termasuk profesor.

“Pada peringkat awal dahulu penubuhan Institut Darul Iman (IDAMAN) sudah dilaksanakan bagi menjalin kerjasama dengan penyelidik dari universiti, apabila ia berjaya maka kita perluas kan lagi jalinan kerjasama dengan profesor dan cendikiawan daripada seluruh IPTA di Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas
Program Bual Bicara Intelektual dan Pra Pelancaran Majlis Profesor Negeri Terengganu di Duyong Marina & Resort, Kuala Terengganu, hari ini.

Ahmad Razif berkata, pembabitan profesor sebagai penasihat secara sah kepada portfolio Exco Kerajaan Negeri akan berkuatkuasa
selepas PRU14.

“Melalui kolaborasi bersama  beberapa IPTA terkemuka, pihak kami yakin kita dapat bergerak lebih pantas untuk pembangunan negeri ini.

“Malah, ia juga  diharap dapat menukar mentaliti rakyat yang kadang kala kurang keluar daripada kelaziman, sedangkan mereka boleh buat lebih daripada kemampuan," katanya.

Tag: