• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Lapor PBT Jika Premis Jual Arak Secara Terbuka

DUNGUN, 19 Februari - Anggota masyarakat diseru supaya melaporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) jika mempunyai maklumat premis perniagaan atau mana-mana entiti yang menjual arak secara terbuka.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata semua pihak sewajarnya sedia maklum dengan ketegasan kerajaan negeri melarang jualan arak secara terbuka lebih-lebih lagi di kawasan majoriti muslim.

Katanya, sekiranya masih ada premis perniagaan berdegil walaupun dimiliki oleh bukan Islam, tindakan tegas akan diambil.

"Peraturan dan undang-undang kita jelas sekiranya masih ada, kerajaan negeri ingin meminta bantuan kepada orang ramai yang melihat ataupun mengetahui perkara ini sila makum kepada PBT setempat.

"Kita akan mengambil tindakan yang sepatutnya berdasarkan kepada laporan yang dibuat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman UPDI, selepas merasmikan Majlis Solat Hajat dan Pecah Tanah Sabasun Dungun, di Tapak Pasar Malam, di sini semalam.

Tegas Wan Sukairi, adalah diharapkan orang ramai tidak mendiamkan perkara berkenaan bagi memastikan rakyat di negeri ini terus hidup dalam keadaan aman dan harmoni berlandaskan syariat.

"Selama ini pihak kita juga telah mengadakan lawatan ataupun peperiksaan secara berkala, namun jika ada terlepas pandang adalah menjadi tanggungjawab orang ramai melaporkan perkara ini agar penjualan arak secara terbuka di negeri ini tidak berlaku," ujarnya.


Tag: