• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Lebih 1000 Penerima BERKAT 2.0 Di Rantau Abang

DUNGUN, 5 Mac - Seramai 1,051 orang menerima Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT 2.0) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang yang rata-ratanya adalah golongan wanita.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, kebanyakkan mereka  terdiri daripada pekerja kedai makan yang tidak dapat bekerja memandangkan premis perniagaan tersebut hanya dibenarkan membungkus makanan sahaja ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dikuatkuasakan baru- baru ini.

"Manakala penerima lelaki terdiri daripada tukang gunting dan pemandu bas, walaupun hanya RM100, tidak banyak mana, itu adalah tanda kerajaan Terengganu amat mengambil berat kesusahan rakyat, " katanya.

Alias berkata demikian ketika berucap dalam satu majlis ringkas di Balai Raya Kampung Rantau Abang di sini semalam.

Beliau turut mengingatkan agar penerima berbelanja dengan berhemah kerana situasi negara belum lagi stabil dengan pandemik COVID-19. 

"Berfikir sebelum berbelanja, beli apa yang benar-benar perlu sahaja bukan bila tengok orang ada, kitapun hendak  beli juga," ujarnya. 

 Sementara itu, seorang penerima Azimah Abd Ghani, 56, bersyukur dan gembira diatas keprihatinan kerajaan yang sentiasa ingin membantu rakyat. 

"Kita tidak memandang nilai tu, kitapun tahu kerajaanpun susah jugak, yang penting kerajaan cakna kesusahan rakyat," katanya yang merupakan seorang guru Al-Quran.


Tag: