• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Lebih 1,270 Ikan Nemo Dilepaskan

KUALA NERUS, 16 Ogos - Lebih 1,270 ekor ikan nemo dilepaskan ke perairan Pulau Bidong sebagai simbolik 'pembebasan' sesuai dengan tema penganjuran Program Selaman Skuba Merdeka Bidong iaitu meyelam untuk kebebasan.

Pengarah Pelancongan Terengganu, Fadli Yusof Zakaria berkata program itu mendapat pengiktirafan ‘The Malaysia Book of Records’ sebagai pelepasan ikan nemo terbanyak di negara ini.

Katanya, aktiviti itu dijayakan melalui kerjasama dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

“Anak ikan tersebut ditetas dan diternak di Pusat Penetasan Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (Akuatrop) UMT setelah melalui kajian dan penyelidikan sejak tahun 2017.

“Selaman Skuba Merdeka Bidong merupakan salah satu acara diatur sempena Bulan Menyelam Skuba Terengganu yang bakal berakhir 15 September depan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Dive Month 2022 bertempat di Stesen Penyelidikan Alami UMT, Pulau Bidong, Merang di sini semalam.

Turut hadir Naib Cancelor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar.

Tambah Fadli Yusof, program tersebut dianjurkan bersama UMT adalah kerana IPTA itu mempunyai ramai kepakaran dalam bidang marin serta serius mengenai kepentingan konservasi alam sekitar. 

“Ilmu ini perlu diserapkan kepada masyarakat bagi membentuk lebih ramai generasi yang berpengetahuan dan mempunyai berkesedaran tinggi terhadap kepentingan menjaga kelestarian ekosistem,” katanya.

 


Tag: