• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Lebih 200 Mahasiswa Daki Bukit Maras Sempena Hari Kebangsaan

KUALA TERENGGANU, 24 Ogos – Seramai lebih 200 orang mahasiswa dan anak muda menyertai Program Lepak Cergas Santai Legasi Belia Darul Iman 1.0 (LEGASI 1.0) di Bukit Maras, Batu Rakit di sini baru-baru ini.

Pegawai Seranta (Unit Belia), Urus Setia Belia Sukan NGO Terengganu (UBSNT), Syed Abdus Salam Syed Nazmi berkata program santai itu mendapat sambutan luar jangkaan.

“Kita sebagai sekretariat yang mengelola lapisan anak muda sentiasa berusaha menawarkan program yang menarik bagi pembinaan modal insan yang holistik.

“Kehadiran yang memberangsangkan ini menjadi satu signal kepada kerajaan negeri bahawa warga belia sentiasa menyokong aspirasi yang dibawa kerajaan terutamanya buat anak muda,” ujarnya.

Pada masa yang sama, turut diadakan pelancaran sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Sahabat Aktivis Alam Negeri Terengganu (HIJAU) oleh Timbalan Ketua Penyelidik Menteri Besar Terengganu, Mohd Harun Esa.

Pengerusi HIJAU, Ahmad Ridha Alias berkata, penubuhan NGO tersebut mampu memberi manfaat terhadap kelestarian alam sekitar di Terengganu.

“Asas kepada penubuhan NGO ini adalah untuk memupuk nilai kesedaran kepada masyarakat betapa pentingnya menjaga alam sekitar di negeri ini.

“Negeri kita kaya dengan aset pelancongan. Maka sektor pelancongan perlu dipelihara sebaiknya bagi menjadikan satu nilai tambah buat kerajaan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut menyatakan kesediaan HIJAU bekerjasama dengan mana-mana pertubuhan bagi merealisasikan tujuan utama penubuhan mereka.

Turut hadir Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail dan Pengarah UBSNT, Mohd Nasir Abd Razab serta barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Terengganu.


Tag: