Lebih 200 Peserta Turut Ke Laut Candat Sotong

MARANG, 11 Mei – Lebih 200 peserta termasuk pelancong asing turun ke laut bagi menyertai Program Candat Sotong Terengganu 2025 yang berlangsung meriah di Jeti Pelancongan Marang, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, program tersebut bukan sahaja menghidupkan suasana musim candat, malah turut mempromosikan budaya tradisi nelayan Terengganu kepada masyarakat luar.

"Sebanyak 21 bot nelayan digunakan bagi membawa para peserta ke perairan Marang untuk aktiviti mencandat sotong yang menjadi tarikan unik pelancongan maritim negeri ini.

"Tahun ini, tema ‘Pakat Maghi Candat Sotong 2025’ berjaya tarik ramai peserta termasuk penggiat media sosial dan wartawan luar negara,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Candat Sotong Terengganu 2025 bertempat di Jeti Marang, kelmarin.

Turut hadir, Timbalannya, Sulaiman Sulong dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Hilman Hajijan.

Razali berkata, musim candat sotong yang berlangsung dari April hingga Ogos tahun ini dijangka melibatkan lebih 3,000 bot, dengan kehadiran kira-kira 30,000 pelancong ke perairan Terengganu.

"Pogram ini mampu menjana lebih RM7.5 juta kepada ekonomi tempatan termasuk pengusaha bot, pemilik penginapan dan peniaga kecil.

"Pelancaran musim candat kali ini juga dilihat sebagai langkah awal Terengganu menyemarakkan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026, dengan menjadikan aktiviti laut sebagai tarikan utama pelancong," ujarnya.

 


Tag: