Lebih 3,000 Hadiri Sambutan Raya DUN Rantau Abang
DUNGUN, 1 Mei - Lebih 3,000 orang memeriahkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri DUN Rantau Abang yang menyaksikan tetamu hadir seawal 9.30 pagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, majlis yang sepatutnya bermula pada jam 11 pagi terpaksa diawalkan kepada 10 pagi memandangkan tetamu sudah ramai menunggu.
" Alhamdulillah sambutan orang ramai sangat baik dan gulai dua ekor kerbau dan seekor lembu habis begitu juga juadah-juadah yang lain," katanya.
Majlis tersebut telah diadakan di tapak Pasar Malam Pulau Serai dekat sini dan turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri Terengganu, Ariffin Deraman dan Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli.
Sementara itu, dalam ucapan ringkasnya Ariffin menyatakan Pilihan Raya Negeri dijangka akan diadakan pada akhir Ogos.
"DUN Terengganu, insya-Allah akan dibubarkan pada bulan Jun nanti," katanya.