• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Lebih 5 Ribu Hadir Rumah Terbuka DUN Batu Rakit


SETIU, 9 MEI – Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit berlangsung dengan meriah apabila dikunjungi lebih 5,000 masyarakat sekitar Batu Rakit.

Pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat telah memenuhi Dataran Gong Lingai bermula sejak pukul 10 pagi lagi untuk bersama-sama memeriahkan sambutan Aidilfitri pada kali ini.

Pelbagai sajian dan juadah raya tradisi Terengganu dihidangkan seperti Nasi Minyak, Opok-opok, Laksa dan kuih-muih serta dihiburkan dengan nyanyian lagu-lagu raya.

Pegawai Penyelaras (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, majlis rumah terbuka diadakan kali pertama di Dataran Gong Lingai merupakan tempat yang berada agak pedalaman sedikit berbading kampung-kampung lain di dun batu rakit ini.

“Sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini seperti biasa setiap tahun dihadiri masyarakat di kawasan ini dan Alhamdulillah ramai juga orang luar daerah turut hadir.

“Terima kasih kepada semua yang hadir yang mana makanan dan juadah disediakan oleh UDM di kawasan ini,” katanya di sini hari ini.

Turut hadir memeriahkan majlis Datuk Bandar Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MBKT), Ybhg Tuan Haji Rosli Latif, serta Ahli Parlimen Setiu, Yang Berhormat Shaharizukirnain Abdul Kadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Yang Berhormat Hishamuddin Abdul Karim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Yang Berhormat Maliaman Kassim.

Dalam pada itu seorang pengunjung, Faiz Awang, 36, berkata, dia bersama keluarga dan rakan-rakan hadir ke rumah terbuka Aidilfitri DUN Batu Rakit seawal pukul 11 pagi.

"Sambutan Hari Raya kali ini amat bermakna sekali di sini kami dapat bersama menikmati pelbagai makanan seperti lemang dan ketupat bersama masyarakat selain bertemu dengan Pegawai Penyelaras Dun.

“Kami amat teruja sekali dan berharap sambutan hari raya seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.


Tag: