• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Lebih RM100 Ribu Diagihkan Sebagai Galakan Pertanian

DUNGUN, 8 Januari -  Sebanyak RM101,375 telah diagihkan kepada  77 orang perseorangan, agensi-agensi dan sekolah-sekolah  sebagai galakan untuk bergiat aktif dalam bidang pertanian. 

Pegawai Pertanian Daerah Dungun, Nur Shazwani Mohd Salleh berkata, agihan berkenaan merupakan peruntukan yang disalurkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Malaysia pada akhir tahun lepas. 

"Jadi kita agihkan pada awal tahun ini kepada mereka yang telah melibatkan diri dalam pertanian," ujarnya. 

Nur Shazwani yang ditemui selepas Penyerahan Agihan Peruntukan tersebut oleh Pegawai Khas, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang untuk Peringkat DUN Rantau Abang di Majlis Bertemu Pelanggan MAFI di Dewan Majlis Perbandaran Dungun(MPD) kelmarin. 

Menurutnya lagi terdapat tiga kategori penerima yang mendapat manfaat peruntukan yang disalurkan  iaitu Pertanian Bandar, Pertanian Kontrak dan Amalan Pertanian Baik (MyGAP). 

"Kalau yang baru hendak mula, datanglah ke Pejabat Pertanian, kita bersedia membantu dan memberi khidmat nasihat sehingga berjaya, insya-Allah, " katanya.

Roslinawati menerima sijil daripada Halim sambil diperhatikan oleh Nur Shazwani. 

Seorang peserta  kategori Ladang Kontrak, Roslinawati Othman, 37, berkata penglibatannya dalam sektor pertanian bermula sejak 14 tahun lalu.

" Ketika itu, saya hanya membantu ayah  menanam timun, lada, terung secara bergilir di belakang rumah di Kampung Baru, Kuala Abang. 

"Setelah kematian ayah, saya mengusahakan tanaman fertigasi bersama ibu dengan mendapat bimbingan daripada Jabatan Pertanian Dungun dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)," ujar ibu tunggal yang mempunyai tiga orang anak.

Katanya, dia juga menternak ikan hiasan dan dijual secara atas talian. 


Tag: