Jalur Gemilang
Berita :
Projek Tembikai TADC Di Setia Jaya, Bakal Dituai Akhir Oktober Ini
Projek Tembikai TADC Di Setia Jaya, Bakal Dituai Akhir Oktober Ini
Hidayah Azlin
1 jam yang lepas
42

SETIU,6 Oktober – Kerajaan Negeri Terengganu menerusi Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn. Bhd. (TADC) terus memperkasakan sektor agromakanan tempatan menerusi pelaksanaan Projek Tanaman Tembikai berkonsepkan Program Pembangunan Usahawan di Setia Jaya, Merang.

Inisiatif pengeluaran makanan secara berskala komersial itu dijangka mula membuahkan hasil dan sedia untuk dituai menjelang penghujung Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, projek tersebut dirangka khusus bagi membimbing usahawan tempatan menguasai teknik pertanian moden secara sistematik.

"Usaha ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan negeri dalam merancakkan ekonomi asas tani serta memastikan kelangsungan bekalan makanan tempatan sentiasa terjamin.

"Projek di Setia Jaya, Merang ini diuruskan sepenuhnya oleh pihak TADC. Insya-Allah, jika tiada halangan, hasil tanaman tembikai ini dijangka boleh dituai pada penghujung Oktober nanti," katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam. 

Beliau menambah, penglibatan agensi seperti TADC bukan sahaja memastikan pengurusan ladang berada pada tahap optimum, malah membuka ruang kepada usahawan tempatan untuk meningkatkan pendapatan secara mampan.

Kejayaan projek ini dijangka bakal memperkukuh kedudukan Terengganu sebagai antara pengeluar utama buah-buahan segar, sekali gus memenuhi permintaan pasaran domestik serta luar negeri.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan