Jalur Gemilang
Berita :
Lapan Usahawan Tempatan Di Kg Setia Jaya Merang Teroka Projek Tembikai 20 Hektar
Lapan Usahawan Tempatan Di Kg Setia Jaya Merang Teroka Projek Tembikai 20 Hektar
Hidayah Azlin
6 jam yang lepas
101

SETIU,21  September – Seramai lapan orang penduduk tempatan dari Kampung Setia Jaya Merang di sini kini melangkah ke fasa baharu dalam bidang pertanian menerusi Projek Tanaman Tembikai seluas 20 hektar berkonsepkan program pembangunan usahawan.

Projek berimpak tinggi ini diuruskan secara profesional oleh Terengganu Agrotech Development Corp (TADC) dengan memanfaatkan dana daripada Program Pemerkasaan Agromakanan Negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, inisiatif ini bukan sahaja bertujuan memperkasakan pengeluaran makanan tempatan, malah menjadi platform membimbing komuniti menjadi usahawan tani yang berdaya saing.

"Inisiatif di Kampung Setia Jaya Merang ini memberi fokus kepada penglibatan anak tempatan secara terus dalam rantaian bekalan agromakanan.

"Menerusi bimbingan dan kepakaran pihak TADC, lapan usahawan terpilih ini mendapat pendedahan pengurusan ladang yang sistematik serta sokongan dana untuk memastikan hasil pengeluaran kekal berkualiti tinggi," katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.

Penglibatan agensi seperti TADC sebagai pengurus projek membolehkan isu rantaian pemasaran dan teknikal diatasi dengan lebih cekap, sekali gus mengurangkan risiko yang kerap dihadapi oleh petani secara bersendirian.

Mengulas lanjut, Dr Azman menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Terengganu komited untuk terus menyokong projek-projek pertanian strategik yang memanfaatkan dana Persekutuan mahupun Negeri demi menjamin keselamatan bekalan makanan serta meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk luar bandar.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan