• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Lega Tanah Dirampas Dikembalikan Semula

DUNGUN, 31 Januari- Lima tahun penantian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun terlerai hari ini apabila 96 peserta terakhir tanah terkilan di DUN terbabit menerima geran tanah mereka hari ini.

Jelasnya, penyerahan geran tanah kepada kumpulan terakhir daripada keseluruhan 346 peserta itu amat melegakannya.

"Memanglah puas hati. Bukan kita sahaja, tetapi rakyat yang terkilan itu memang rasa bersyukur atas usaha kerajaan negeri kerana itu merupakan manifesto kita dan kita hendak selesaikan janji-janji itu.

"Alhamdulillah, dengan usaha pejabat tanah, pegawai-pegawai daripada atas ke bawah yang terlibat untuk bersungguh-sungguh supaya benda ini dapat diselesaikan dalam tempoh yang kita harapkan sebab, kita harap manifesto ini akan selesai dalam tempoh lima tahun pertama (pentadbiran)," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah di Dewan Majlis Perbandaran Dungun, hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar kepada 239 penerima.

Ini kerana kata Alias,, selain 96 peserta tanah terkilan, penyerahan Borang 5A turut diadakan kepada seramai 72 penduduk bagi Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kampung Wa Sejahtera dan 71 penerima di RTB Pertanian Bukit Senyamuk.

Tambah Alias, penyerahan itu menamatkan penantian penduduk selama 24 tahun setelah tanah mereka diambil kembali kerajaan sebelum ini.

"Dan, bagi permohonan baharu mengikut proseslah seperti biasa.

"Ada lagi kawasan-kawasan yang menunggu undian lot iaitu di kawasan 'by-pass' Kampung Batu Tiong, kalau kita kira ada dalam 600 lot tetapi yang baru kita selesaikan untuk undi lot ini dalam 300 lot lebih.

"Yang baru memohon, kita buka kawasan-kawasan yang diberi oleh pejabat tanah, cuma sekarang tanah yang diberikan kebanyakannya tanah berpaya dan saya berharap kerajaan negeri melihat perkara ini lebih teliti untuk menyediakan kemudahan asas di kawasan terbabit," katanya.

 


Tag: