• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Leher Ditebuk Angkara Penyakit Misteri

SETIU, 11 September – "Leher dia terpaksa ditebuk, baru dia boleh bernafas sendiri tanpa bergantung dengan alat bantuan pernafasan," ujar Shakirah Elias ibu kepada Muhammad Akif Darwisy, 10, yang menderita penyakit misteri sejak berumur enam tahun.

Kata Shakirah, 32, kejadian yang berlaku pada Disember 2016 itu benar-benar menguji mereka sekeluarga apatah lagi ia berlaku secara mengejut dan pantas.

"Waktu itu, Akif nak main di luar rumah, namun dia tiba-tiba pengsan terduduk, mukanya berubah menjadi biru, kemudian saya dan suami, Ayub Fauzi (ketika itu berumur 43 tahun) membawanya ke klinik kesihatan terdekat.

"Di klinik, Akif diberikan bantuan pernafasan selama dua jam, apabila semuanya sedikit terkawal dia dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) selama sebulan, sepanjang di sana pihak hospital tidak mengetahui punca Akif pengsan dan doktor mengesahkan dia tidak mengalami apa-apa penyakit.

"Di hospital semuanya bergantung kepada alat bantuan pernafasan, selepas doktor melakukan pembedahan (menebuk) leher akhirnya dia boleh bernafas seperti biasa," jelasnya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim baru-baru ini.

Menurut ibu muda itu, dia redha dengan nasib menimpa anak sulung daripada dua beradik itu meskipun terpaksa melalui ujian tersebut secara sendirian pada dua tahun lalu selepas kehilangan suami tercinta.

Ujarnya, keprihatinan semua pihak sedikit sebanyak mengurangkan beban ditanggung termasuk untuk membeli keperluan Akif seperti pampers dan susu boleh mencecah RM2,000 sebulan.

"Terima kasih kepada semua termasuk Dr Azman yang menyumbangkan sebuah katil baharu untuk anak saya, ia sedikit sebanyak mengurangkan beban kekuarga mereka. Sudah lama cuba membuat permohonan katil baru memandangkan katil yang sedia ada sudah uzur, tambahan pula, Akif sudah semakin besar.

"Akif hanya mampu terlantar, minum susu melalui tiub dan dipakaikan pampers sejak 2016. Dengan bantuan katil baharu ini ia memberi keselesaan serta akan lebih memudahkan kerja saya untuk menguruskan dia," katanya yang menginap di PAKR Anak Ikan di sini.

Jelas Shakirah, kesihatan Akif beransur baik berbanding tahun-tahun sebelum ini yang agak menyukarkan mereka sekeluarga.

"Daripada kaku, kini sudah boleh pusingkan kepala, kaki dan tangan, malah ada ketika dia menangis dan senyum," jelasnya.

Dalam pada itu, Dr Azman menzahirkan rasa simpati terhadap ujian yang menimpa keluarga kecil berkenaan dan akan memberi pehatian sewajarnya.

"Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Semoga kedua Akif dan keluarga tabah menjalani liku-liku kehidupan di hari mendatang. Hari ini kita bagi katil baharu agar Akif lebih selesa," katanya lagi.

Untuk rekod, wanita tabah terbabit turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan dan telah membuat permohonan baru kepada Tabung Darul Iman.