• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Lelaki Lumpuh Bakal Terima Bantuan Bulanan

KUALA TERENGGANU, 4 Januari – Seorang ketua keluarga yang terlantar lumpuh akibat kemalangan di Jalan Aring baru-baru ini bakal menerima bantuan bulanan daripada kerajaan negeri dan agensi kebajikan.

Muhammad Faizal Hakimi Mat Jusoh, 26, terbabas ketika ke tempat kerja sebelum kereta dipandunya berpusing dan melanggar tebing di tempat kejadian.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata bantuan bagi Faizal yang kini diuruskan sepenuhnya oleh isteri baru sahaja diluluskan. 

“Jabatan Kebajikan Masyarakat telah membuat lawatan dan bersetuju untuk meluluskan bantuan penjagaan buatnya.

“Bantuan dari segi rawatan juga telah dipohon melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) selain inisiatif tambahan daripada Tabung Darul Iman (TDI),” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, Mohd Safari Abu ketika dihubungi berkata pihaknya menzahirkan penghargaan kepada semua agensi yang mengambil perhatian terhadap mangsa.

“Kita telah dimaklumkan bahawa JKM telah meluluskan bantuan pesakit terlantar sebanyak RM500 sebulan bermula Januari ini selepas mereka mengadakan lawatan tempoh hari.

“Bagi bantuan daripada MAIDAM pula, kita kini sedang menunggu surat pengesahan daripada doktor dan Pusat Khidmat Masyarakat Telemong akan pantau prosesnya,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Marang merangkap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menziarahi Faizal ketika ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) sewaktu bencana banjir melanda kawasan itu.

 


Tag: