• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

`Lepah Ni..Dok Leh Duduk Saje'

Johan Pertandingan Pidato Gema Wawasan Negeri Terengganu, Sharifah Nooranidzar Syed Abdul Kadir



Oleh: Nooreni Abu Bakar

KUALA TERENGGANU 31 Disember – Lepah (Selepas) ni saya dok leh (tidak boleh) duduk saje (sahaja), itu reaksi spontan Johan Pertandingan Pidato Gema Wawasan Negeri Terengganu, Sharifah Nooranidzar Syed Abdul Kadir yang tidak menyangka meraih kemenangan tersebut.

Noranidzar yang mewakili kategori wanita dari Hulu Terengganu memilih tajuk pidatonya Kestabilan Ekonomi Memacu Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera memerlukannya mendalami tajuk dan juga menjadi platform kerajaan  menyebarluaskan maklumat serta dasar-dasar kerajaan yang disampaikan kepada rakyat.

“Mengambil masa  untuk membuat persiapan kerana banyak membabitkan fakta, namun saya melihat ia adalah maklumat kerajaan yang penting dan bermanfaat yang perlu disampaikan kepada masyarakat.

"Kemenangan ini adalah(menjadi) tanggungjawab kepada saya untuk terus bersama di dalam mengisi kemenangan di mana kita nak negeri kita dalam keadaan maju, berkat dan sejahtera," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Urusetia Penerangan Darul Iman(UPDI) selepas pertandingan anjuran bersama Badan Bukan Kerajaan(NGO) KHAIRUNNISA dan Muslimat Terengganu di Dewan Teater, Perpustakaan Negeri di sini baru-baru ini.



Majlis perasmian disempurnakan  oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ustaz Ahmad Shah Muhamed itu, turut dihadiri Pegawai Khas Wanita di Pejabat Menteri Besar, Hajah Khairiah Mokti.


Seramai 16 peserta telah menyertai pertandingan yang terbahagi kepada dua kategori iaitu wanita dan beliawanis daripada lapan kawasan.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa NGO tersebut, Hajah Maznah Muftahuddin berkata tajuk yang diberikan adalah untuk mencapai hasrat negara maju berkat dan sejahtera.

"Supaya Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera dapat difahami oleh semua golongan, bukan hanya diwar-warkan bersama pemimpin, tetapi dapat dihayati rakyat di bawah," katanya lagi.

 Wakil beliawanis kawasan Kuala Nerus, Emi Marhim Aman telah diumumkan sebagai Johan kategori itu.



Tag: