• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Lepas 31,000 Anak Benih Ikan, Udang

KUALA TERENGGANU,30 Jun – Sebanyak 31,000 benih anak ikan dan udang dilepaskan Jabatan Perikanan Terengganu di Sungai Terengganu di sini pada hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata langkah itu bagi memperkayakan sumber perikanan untuk nelayan darat.

“Sebelum ini di beberapa lokasi seluruh daerah kita telah lepaskan lebih kurang 329,000 ribu anak benih ikan ke pelbagai perairan sungai, kolam dan tasik yang ada di seluruh negeri Terengganu.

“Kesinambungan daripada program memperkayakan sumber perikanan pada tahun lepas kita telah lepaskan sehingga 1.7 juta anak benih ikan dan udang dari pelbagai spesies di seluruh negeri,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas Program Pelepasan Benih Ikan Serta Penyerahan Bantuan Kepada Nelayan Darat Dan Penternak bertempat di Sungai Terengganu, Kalang Warisan, Kampung Pulau Manis Serada.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman dan Pegarah Perikanan Negeri Terengganu, Encik Ruzaidi Mamat

Mengulas mengenai program tersebut, Dr Azman memaklumkan peruntukan berjumlah RM100,000 telah disalurkan Kerajaan Negeri bagi perolehan bantuan peralatan kepada nelayan darat tulen.

Katanya, bantuan yang diterima setiap nelayan berupa satu set pukat tangsi (saiz mata 3 inci, tali, pelampung dan pemberat), jaket keselamatan dan kotak peralatan memancing.

“Peralatan ini akan diserahkan kepada 145 orang penerima di seluruh daerah, jumlah penerima pada hari ini adalah 10 orang nelayan darat tulen dari daerah Kuala Terengganu (tiga), Marang (dua) dan Kuala Nerus (lima),” katanya.

Sementara itu ujarnya, sejumlah RM2.08 juta peruntukkan bantuan bencana telah disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Pejabat Perikanan Negeri Terengganu bagi perolehan bantuan peralatan akuakultur (sangkar, pukat, tali sauh, pam air, genset), makanan dan benih ikan.

"Peralatan ini akan diserahkan kepada 175 orang pengusaha akuakultur di seluruh daerah dan jumlah penerima pada hari ini adalah 16 orang pengusaha akuakultur dari Kampung (Kg). Beladau Kepong, Kg. Beladau Selat dan Kg. Pulau Manis, Serada," ujarnya.

 


Tag: