• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Program Lesen Motosikal Percuma Dilanjutkan Setahun

KUALA TERENGGANU, 22 Julai - Kerajaan negeri bersetuju untuk melanjutkan tempoh program Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS) bagi kumpulan kedua selama setahun.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, program itu sepatutnya berakhir pada penghujung Ogos tahun ini.

Namun katanya, disebabkan faktor semasa ia dilanjutkan sehingga Ogos tahun 2022.

"Kita juga sedia maklum, keadaan pandemik Covid-19 telah mengakibatkan kekangan melalui Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan, yang mana Institut Latihan Memandu merupakan sektor yang tidak dibenarkan beroperasi.

"Ini mengakibatkan separuh daripada jumlah keseluruhan seramai 15,000 peserta masih belum menyempurnakan ujian fasa satu dan dua.

"Diharapkan tempoh lanjutan selama satu tahun ini akan dapat memastikan para peserta  dapat menyempurnakan latihan dan seterusnya mendapat lesen berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas menghadiri upacara korban di DUN Wakaf Mempelam semalam.

Mengulas mengenai program ibadah korban terbabit, Wan Sukairi berkata, pada tahun ini ia diadakan di empat zon dengan melibatkan 13 ekor lembu.

"Dengan mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu(JHEAT), salah satu tempat dijalankan ibadat korban ini ialah di tapak Pusat Khidmat Masyarakat DUN (PKMD) Wakaf Mempelam.

"Pada kali ini turut menerima sumbangan daripada Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim, kita mengagihkan daging korban ini ke semua 35 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

"JPKK akan mengedarkannya kepada semua penduduk yang layak menerimanya dalam kampung masing-masing," ujarnya.


Tag: