• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Lesen Percuma, Anak Muda Tidak Lagi Risau

KUALA NERUS, 30 September - Pemberian lesen motosikal percuma oleh kerajaan negeri memberi kelegaan berganda kepada anak muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir.

Penerima, Asiah Chik, 25, nyata gembira dengan peluang yang diperolehinya dan menyifatkan ia sebagai hadiah daripada kerajaan untuk golongan belia.

“Terima kasih kepada kerajaan Terengganu kerana memilih saya sebagai salah seorang penerima Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS).

“Kepada anak muda di luar sana, buatlah permohonan ini, insya-Allah ada rezeki kita akan dapat bantuan ini,” ujarnya ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Program LMTS Tahun 2020 di Dewan Serbaguna Taman Permint Perdana kelmarin.

Sementara itu, Mohd Aidil Fizri, 24, dari Kampung Taman Permint Perdana pula melahirkan kegembiraan kerana permohonannya diluluskan.

“Syukur pada Allah, bantuan ini mungkin nampak kecil pada segelintir pihak, namun bagi kami para belia ia cukup bermakna.

“Kos bagi membuat lesen motosikal sudah tidak ditanggung kami lagi, dalam erti kata lain duit simpanan kami boleh kami gunakan untuk perkara lain seperti perbelanjaan sambung belajar.

“Dalam masa yang sama, ibu bapa juga tidak perlu mengeluarkan duit kepada anak-anak untuk tujuan ini kerana sudah dibayar kerajaan,” jelasnya.

Manakala seorang lagi penerima dari Kampung Telaga Batin, Siti Hajar, 30, memaklumkan, peluang sekali seumur hidup dimanfaatkan sepenuhnya.

“Alhamdulillah, sekarang saya dah sampai ke peringkat ujian berkomputer, terima kasih kepada semua pihak atas inisiatif yang berguna untk rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Haji Mohd Fadhil Wahab, ia adalah salah satu komitmen kerajaan dalam menunaikan janji manifesto PAS pada PRU14 yang lalu.

Jelasnya, dengan adanya baucer itu, setiap keluarga dapat meringankan beban yang ditanggung sebanyak RM300.

MPKK Kampung Batin mencatatkan penerima tertinggi iaitu 50 penerima manakala MPKK Kampung Baru lapan penerima.


Tag: